• Saran Kerajaan Iktiraf UNIMAS Sebagai Pusat Diagnosis Wabak - Dr Annuar Rapaee

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 11 July 2018
    A- A+

    KERAJAAN Negeri kini sedang berusaha mengadakan rundingan dengan Kementerian Kesihatan bagi mengiktiraf Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sebagai pusat diagnosis wabak terutama dalam pengawalan wabak rabies di negeri ini.

    Menteri Muda Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr. Annuar Rapaee berkata, negeri ini memerlukan sebuah makmal kesihatan awam yang khusus bagi mengawal wabak berkenaan daripada terus merebak.

    "Sarawak memerlukan makmal kesihatan awam khusus seperti ini yang berkemampuan untuk mengawal dan mendiagnos wabak-wabak seperti ini."

    "UNIMAS mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian namun belum lagi diiktiraf kerajaan hingga spesimen jangkitan anjing itu perlu dihantar ke Institut Kajian Veterinar (VRI) Ipoh," katanya lagi.

    Annuar, yang juga merupakan ADUN Nangka berkata demikian dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan DUN sebentar tadi.

    Setakat ini, wabak rabies di Sarawak yang mencetuskan kebimbangan pada Julai tahun lalu telah mengorbankan 10 daripada 11 mangsa.

    Sebanyak 33 kawasan melibatkan lima bahagian di negeri ini sudah diisytiharkan rabies dengan Serian menjadi kawasan terbesar diserang wabak itu.
  • No Comment to " Saran Kerajaan Iktiraf UNIMAS Sebagai Pusat Diagnosis Wabak - Dr Annuar Rapaee "