• RM20 Juta Dilulus Untuk Bina Loji Rawatan Air Bau

    Reporter: M. H. W.
    Published: Wednesday, 4 July 2018
    A- A+

    BAU - Masalah bekalan air bersih terawat yang membelenggu sebahagian besar penduduk di daerah ini bakal diatasi tidak lama lagi.

    Komited untuk mengatasi masalah ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan berjumlah RM20 juta untuk membina Loji Rawatan Air Bau. Menurut Abang Johari, loji rawatan air ini akan memperkukuhkan lagi bekalan air bersih kepada penduduk di seluruh kawasan ini.

    “Kerajaan persekutuan sebelum ini telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM100 juta untuk menambah baik bekalan air di Bau, Lundu dan Sematan.

    “Tetapi untuk Bau sendiri, loji rawatan air diperlukan untuk memperkukuhkan bekalan air di kawasan ini.

    “Jadi, malam ini kita tidak perlu tunggu Putrajaya, kita guna dana kita sendiri, RM20 juta untuk loji rawatan air ini di Bau,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Gawai REDEEMS di Pusat REDEEMS, Kampung Apar, Singai di sini malam kelmarin (Sabtu).

    Selain masalah bekalan air, Abang Johari berkata kerajaan turut akan mengatasi masalah liputan talian telekomunikasi di kawasan ini khususnya Singai.

    Kerajaan katanya, menyedari akan masalah ini dan telah mengarahkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) membina menara telekomunikasi di Singai.

    “Saya harap Datu Jaul Samion, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri ambil perhatian akan perkara ini di mana kita akan membina menara ini di sini.

    “Dengan adanya menara ini di sini nanti, ia akan dapat memperluaskan liputan jalur lebar dan juga Internet untuk menghubungkan semua penduduk di sini dengan masyarakat luar,” katanya.

    Mengenai REDEEMS, Abang Johari berkata REDEEMS telah melakukan banyak usaha untuk memperkukuhkan warisan budaya terutama masyarakat Bidayuh.

    Melihat kepada semua fasiliti yang disediakan sendiri oleh REDEEMS, beliau yakin Pusat REDEEMS akan menjadi satu lagi destinasi tarikan pelancongan baharu di daerah ini.

    Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep, Pengerusi REDEEMS Datuk Peter Nansian Ngusie serta yang lain. - UTUSAN BORNEO
  • No Comment to " RM20 Juta Dilulus Untuk Bina Loji Rawatan Air Bau "