• Pindaan Rang Undang-Undang Kanun Tanah dibentang

    Reporter: M. H. W.
    Published: Monday, 9 July 2018
    A- A+

    KUCHING - Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018 akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula hari ini, 9 hingga 18 Julai.

    Rang undang-undang tersebut akan dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

    Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata rang undang-undang ini akan memperkenalkan konsep Pemakai Menoa dan Pulau Galau yang akan dibacakan buat pertama kali pada 10 Julai diikuti bacaan kali kedua dan ketiga pada 11 Julai.

    Selain rang undang-undang berkaitan Kanun Tanah, tiga lagi rang undang-undang turut akan dibentangkan iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2017), 2018; Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2018), 2018 dan Rang Undang-Undang Perlombongan Minyak (Pindaan), 2018.

    “Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2017), 2018 dan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2018), 2018 masing-masing akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh dengan bacaan kali pertama pada 10 Julai diikuti bacaan kedua dan ketiga pada 12 Julai.

    “Manakala Rang Undang-Undang Perlombongan Minyak (Pindaan), 2018 pula akan dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan serta Menteri Pembangunan Bandar Kedua dan Sumber Asli Kedua untuk bacaan kali pertama, kedua dan ketiga pada 10 Julai,” katanya.

    Asfia berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di sini semalam selepas Mesyuarat Pra-Persidangan DUN yang dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    Selain pembentangan rang undang-undang, Asfia turut memaklumkan bahawa pihaknya menerima empat usul daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pelawan David Wong dan ADUN DAP Pujut Dr Ting Tiong Choon.

    Usul pertama daripada Wong adalah mengenai pindaan Kanun Tanah untuk pembaharuan automatik dan tidak bersyarat bagi pajakan tanah manakala usul kedua juga daripada Wong adalah mengenai konsesi penyelenggaraan jalan negeri.

    Dua lagi usul daripada Dr Ting adalah untuk menghapus monopoli pasaran simen di Sarawak dan meminta Kerajaan Sarawak menyediakan dana yang adil kepada semua wakil rakyat dipilih.

    Sementara itu, sebanyak 380 soalan lisan dan bertulis diterima daripada 50 ahli dewan dengan 299 merupakan soalan lisan, 80 soalan bertulis dan satu soalan ditolak.

    Jabatan Ketua Menteri menerima soalan tertinggi iaitu sebanyak 68 soalan manakala Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan tidak menerima sebarang soalan. - Utusan Borneo
  • No Comment to " Pindaan Rang Undang-Undang Kanun Tanah dibentang "