• Pemuda Hilang Enam Hari, Dijumpai Mati Dalam Kereta

    Reporter: M. H. W.
    Published: Wednesday, 4 July 2018
    A- A+

    SIBU - Tanda tanya seorang bapa terhadap kehilangan anak lelakinya sejak enam hari lalu terjawab apabila dia dihubu­ngi polis memaklumkan pemuda itu ditemukan lemas dalam kereta yang terhumban ke Sungai Merah di Brooke Drive di sini hari ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, Ting Kwong Lim, 25, dilaporkan tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi oleh bapanya pada Rabu lalu.

    Menurutnya, setelah enam hari laporan polis dibuat, pemuda terbabit akhirnya ditemukan mati dipercayai akibat lemas setelah kereta Perodua Alza dipandunya terbabas dan terhumban ke sungai di Jambatan Sungai Merah, Brooke Drive pada pagi ini.

    “Pihak bomba menerima laporan tentang sebuah kereta telah terbabas dan terhumban ke sungai di Jambatan Sungai Merah pada pukul 7.50 pagi.

    “Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah bersama Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sibu bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Menurutnya, anggota PPDA menjalankan operasi penyelaman berjaya menemukan kereta Pe­rodua Alza bersama pemandu yang terperangkap di dalamnya.

    Katanya, setelah kenderaan itu berjaya ditarik keluar dari sungai menggunakan kren, mangsa didapati sudah meninggal dunia.

    Ling Hii menambah, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 10.29 pagi.

    “Bapa mangsa yang dipanggil polis untuk membuat pengecaman kemudian mengesahkan lelaki yang ditemukan mati lemas itu adalah anaknya yang dicari sejak enam hari lalu,” katanya. - UTUSAN ONLINE
  • No Comment to " Pemuda Hilang Enam Hari, Dijumpai Mati Dalam Kereta "