• Kumpulan pertama jemaah haji dinasihat buat persediaan awal

    Reporter: Admin
    Published: Thursday, 12 July 2018
    A- A+

    MADINAH: Semua bakal haji dari Malaysia terutama kumpulan pertama seramai 483 orang bakal tiba di sini pada Sabtu ini, dinasihatkan membuat persediaan dan mengambil langkah perlu bagi menjaga kesihatan masing-masing di dalam persekitaran cuaca panas yang mencecah 46 darjah celcius.

    Pengarah Operasi Tabung Haji (TH) Madinah, Affandi Abdullah berkata keadaan cuaca di Madinah dan Makkah adalah panas dan kering berbeza dengan di Malaysia iaitu panas dan lembab.

    Beliau berkata cuaca panas dan kering menyebabkan tubuh sukar mengekalkan suhu badan optimum, sekali gus menyebabkan seseorang mudah diserang penyakit berkaitan cuaca panas.

    Sehubungan itu, katanya, jemaah perlu mengetahui beberapa maklumat penting mengenai penyakit berkaitan cuaca panas khususnya apa yang perlu dilakukan serta dilarang, selain mematuhi arahan doktor dan petugas TH.

    "Golongan paling berisiko mengalami masalah kesihatan akibat cuaca panas ialah warga emas, khususnya yang berumur 60 tahun ke atas," katanya kepada media Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini.

    Ada tiga peringkat penyakit berkaitan cuaca panas yang berisiko dialami jemaah haji Malaysia pada musim haji kali ini dengan suhu purata pada siang hari antara 40 hingga 46 darjah celsius dan sekitar 34 darjah celsius pada waktu malam.

    Peringkat pertama ialah "heat cram" atau kejang haba, diikuti "heat exhaustion" atau keletihan akibat cuaca panas sebelum peringkat ketiga dan paling berbahaya iaitu "heat strok" atau strok haba.

    Kejang haba adalah serangan pada bahagian otot beberapa anggota badan disebabkan cuaca yang terlampau panas.

    Apabila ia berlaku, pesakit beranggapan kekejangan itu disebabkan mereka banyak berjalan dan sebagainya, sedangkan ia sebenarnya disebabkan cuaca panas.

    Serangan "heat exhaustion" pula menyebabkan seseorang itu berasa pening, loya dan seterusnya muntah apabila badan menjadi terlalu letih disebabkan persekitaran yang terlampau panas.

    Peringkat paling berbahaya, strok haba pula akan menyebabkan pesakit terus rebah dan pengsan disebabkan badan sudah hilang upaya untuk mengawal suhu pada kadar yang sepatutnya.

    Affandi berkata, satu lagi nasihat penting kepada jemaah haji ialah jangan menyembunyikan penyakit yang mereka hidapi daripada petugas kesihatan TH.

    "Sudah menjadi kelaziman ramai jemaah cuba menyembunyikan penyakit yang mereka hidapi seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya kerana bimbang kalau-kalau mereka akan dilarang menunaikan ibadah wajib atau rukun haji jika pihak TH tahu.

    "Ini tindakan yang salah. Kalau ada penyakit, bagi tahu kami. Ia penting supaya kami dapat beri nasihat dan ubat-ubatan yang perlu. Petugas TH bukan nak halang jemaah buat ibadah tapi kami ingin membantu mereka," katanya.

    Affandi juga menasihatkan jemaah haji mengurangkan aktiviti luar yang tidak penting seperti berjalan-jalan atau membeli belah, sebaliknya lebih banyak beriktikaf di masjid.

    "Hadkan aktiviti luar kepada aktiviti ziarah yang diaturkan TH sahaja. Kita datang untuk melakukan ibadah, bukan untuk melancong atau membeli belah," katanya.

    Tips kepada jemaah haji bagi menghadapi cuaca panas:

    1. Elakkan pendedahan secara langsung dengan sinaran matahari.

    2. Minum dengan kerap. Satu cawan kecil air zam-zam kuantitinya 300ml. Jemaah dinasihatkan minum sekurang-kurangnya satu cawan setiap kali sebelum dan selepas solat lima waktu di Masjidlharam dan Masjid Nabawi. Dengan amalan ini, jemaah mengambil 3,000ml atau tiga liter air zam zam sehari. Ia bekalan cukup sempurna untuk tubuh kerana air zam zam mengandungi garam galian semula jadi diperlukan manusia.

    3. Isi botol penyembur wuduk dengan air zam zam. Selain disembur pada anggota badan yang kering ketika cuaca panas, ia juga boleh diminum apabila perlu.

    4. Jemaah lelaki dinasihatkan memakai pakaian yang nipis dan berwarna cerah kerana ia boleh memantulkan haba dan tidak menyerapnya.

    5. Kurangkan aktiviti luar yang tidak penting seperti berjalan-jalan atau membeli belah, sebaliknya banyakkan beriktikaf di dalam masjid.

    6. Ada tiga pusat rawatan kesihatan disediakan TH di tiga zon penginapan di Madinah iaitu di:

    i. Hotel Al-Haram

    ii. Hotel Anwar Movenpick

    iii. Hotel Raudah al-Aqeeq

    Waktu operasi: 7 pagi - 12 tengah hari, 4 - 6 petang, 8 - 10.30 malam, 24 jam untuk kes kecemasan.

    -BERITA HARIAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Kumpulan pertama jemaah haji dinasihat buat persediaan awal "