• DUN Sarawak Lulus RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2018

    Reporter: Admin
    Published: Thursday, 12 July 2018
    A- A+

    KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018 dengan undi suara majoriti selepas bacaan kali ketiga.

    Speaker, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, mengumumkan rang undang-undang itu diluluskan selepas 35 anggota dewan berucap membahaskannya.

    Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, berkata objektif utama rang undang-undang itu ialah untuk memberi kepada wilayah liputan peribumi kuasa dari segi undang-undang dan untuk mengeluarkan surat hak milik guna sama peribumi bagi tempoh selama-lamanya, yang memberi kepada hak milik itu hak pemilikan terhadap wilayah liputan peribumi.

    Uggah berkata rang undang-undang itu juga bertujuan menyelesaikan masalah yang timbul daripada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes TR Nyutan berkaitan pajakan dan untuk memansuhkan peruntukan dalam Ordinan Kanun Tanah (Pindaan) 2007, yang tidak dikuatkuasakan akibat daripada, contohnya, pengembalian semula Seksyen 5 (2) (f).

    "Saya juga ingin menyatakan bahawa Rang Undang-undang itu bertujuan mengukuhkan kembali prinsip inklusif. Malah, Rang Undang-undang itu dirangka agar merangkumi prinsip itu."

    "Ini kerana, di Sarawak, kita ada lebih 30 kumpulan peribumi, setiap satu dengan adat resam dan budaya masing-masing. Atas sebab itulah, istilah Wilayah Liputan Peribumi digunakan, bukan istilah yang mempunyai persamaan dengannya, 'pemakai menoa' dan 'pulau galau' bagi Iban, 'cari makan' untuk Melayu, 'tu'an' untuk Bidayuh dan sebagainya," kata beliau ketika menggulung perbahasan tentang Rang Undang-undang itu. - Bernama
  • No Comment to " DUN Sarawak Lulus RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2018 "