• Tiga maut kemalangan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 4 June 2018
    A- A+


    BINTULU: Tiga maut apabila kenderaan mereka hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 6 Jalan Tatau-Bintulu dalam kejadian kemalangan pada jam 1.45 petang semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Bakie Ladin, 33 (pemandu) dari Rumah Dano Sungai Sangan Tatau dan dua penumpang, Jeanety Liah Lana Lily, 8 (Rumah Chupong Sungai Sangan Tatau) serta Sai Imong.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan tiga kenderaan.
    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pertama dari arah Bintulu menuju ke Tatau hilang kawalan melalui satu selekoh dan berselisih dengan sebuah kenderaan lain dari Tatau menuju ke Bintulu dan bertembung dengan sebuah lagi kenderaan yang mengekori di belakang kenderaan yang menghala ke Bintulu tersebut,” ujarnya dalam kenyataan di sini semalam.

    Beliau berkata, kemalangan tersebut menyebabkan pemandu dan dua penumpang kenderaan pertama meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang penumpang mengalami cedera parah di bahagian muka dan kaki kanan. 

    Katanya, pemandu kenderaan kedua tidak mengalami sebarang kecederaan manakala tiga penumpangnya pula hanya mengalami cedera ringan.

    Manakala pemandu dan tiga penumpang kenderaan ketiga pula tidak mengalami sebarang kecederaan. 

    “Ketiga- tiga mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh paramedik di tempat kejadian telah dibawa ke rumah mayat Hospital Bintulu,” jelasnya.

    Tiga penumpang kenderaan kedua yang cedera telah dibawa ke Klinik Tatau sebelum dirujuk ke Hospital Bintulu. 

    Katanya, semasa kejadian keadaan cuaca baik dan cerah.

    Katanya, kes kemalangan terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-Utusan Borneo Online
  • No Comment to " Tiga maut kemalangan "