• Sinar Baru Buat Rashid Sekeluarga

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 13 June 2018
    A- A+



    Mangsa kebakaran, Abdul Rashid Bujang sekeluarga yang tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka musnah dalam satu kebakaran boleh menarik nafas lega apabila Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) Datuk Haji Mohd Naroden Haji Majais berjanji akan membantu membangunkan semula rumah mereka.

    Datuk Naroden, yang juga ADUN Gedong telah melawat mangsa di tapak kebakaran di Jalan Kilang, Kampung Lubok Buntin Hulu, Kota Samarahan pada sebelah pagi hari ini.

    Dalam lawatan tersebut, Naroden juga telah menderma barang makanan, pakaian dan wang tunai bagi meringankan beban mangsa, lebih-lebih lagi dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang tak akan tiba beberapa hari lagi.

    Menurut Naroden, rumah tersebut akan mula dibina selepas hari raya puasa di tapak yang lama dan sementara itu, mangsa akan menumpang sementara di rumah sanak saudara di kampung yang sama dalam tempoh pembinaan rumah berkenaan.'

    "InsyaAllah, rumah tersebut dapat dibina dengan kos siling RM30,000 yang akan mempunyai dua bilik tidur, satu ruang tamu, tandas dan dapur," kata Naroden.

    "Kita berasa amat simpati kepada keluarga saudara Rashid, lebih-lebih lagi mereka telah kehilangan segalanya diambang sambutan Hari Raya Aidilfitri namun kita juga bersyukur kerana tiada insiden kehilangan nyawa atau kecederaan dalam kejadian tersebut," katanya lagi.

    Dalam kejadian lebih kurang jam 11.20 pagi semalam, rumah tersebut ranap dalam satu kebakaran dan pihak bomba hanya dapat memadamkan api sepenuhnya pada jam 1.10 tengahari kemudian.
  • No Comment to " Sinar Baru Buat Rashid Sekeluarga "