• Sarawak Tubuh Pasukan Petugas Perundangan Untuk Teliti Haknya Termasuk Minyak Dan Gas

    Reporter: M. H. W.
    Published: Friday, 8 June 2018
    A- A+

    KUCHING - Satu pasukan petugas perundangan Sarawak ditubuhkan untuk meneliti semua perkara berkaitan hak Sarawak dibawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk minyak dan gas.

    Pasukan petugas yang ditubuhkan Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) dijangka diwujudkan pada esok hari bagi membantu kerajaan negeri dalam perkara berkaitan.

    Presiden AAS Ranbir Singh berkata, persatuan menubuhkan pasukan itu untuk membantu dengan apa jua cara yang mampu berhubung hak Sarawak dan MA63.

    "Secara umumnya, Persatuan Peguambela Sarawak bersedia untuk membantu bagi melindungi semua hak negeri.

    "Kita akan menanganinya dan berkomunikasi dengan Peguam Negeri Sarawak. Para peguam akan menjalankan tugas secara percuma demi memperjuangkan Sarawak," tegasnya.

    Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang dihadiri hampir 50 peguam dari seluruh negeri di pejabat ketua menteri di sini, hari ini.

    Beliau berkata, jangka masa untuk menyelesaikan tugas bergantung kepada isu yang berbangkit dan akan menangani isu secara berperingkat.

    Sementara itu Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang hadir sama berkata, pasukan itu akan membantu kerajaan negeri.

    "Ketua Menteri juga sudah menyetujuinya dan kita akan bekerjasama. Mereka akan meneliti semua perkara berkaitan dengan MA63 dan hak-hak Sarawak," katanya.-UTUSAN BORNEO
  • No Comment to " Sarawak Tubuh Pasukan Petugas Perundangan Untuk Teliti Haknya Termasuk Minyak Dan Gas "