• Perjuangan PKMS Harus Di Contohi - Naroden

    Reporter: Admin
    Published: Sunday, 24 June 2018
    A- A+


    PERJUANGAN Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) dalam memertabatkan Bangsa Melayu khususnya di Sarawak patut dicontohi oleh semua pihak.

    Menteri Muda Keusahawanan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Sarawak Datuk Haji Naroden Majais berkata, sumbangan PKMS, khususnya dalam bidang pendidikan ibarat satu perjuangan bagi membantu Bangsa Melayu.

    "Satu perjuangan yang harus kita pertahankan agar ianya tidak mudah luntur sebagaimana kata-kata hikmat hulubalang Melayu Datuk Hang Tuah; "Tidak Melayu Hilang Di Dunia", saya harap semangat dan kekentalan ini akan sentiasa dan diingat dan diperjuangkan khususnya orang-orang Melayu masa kini dan masa hadapan"

    Naroden menambah, PKMS yang telah wujud sejak tahun 1939 lagi juga dipercayai memegang satu rekod persatuan yang tertua sekali sama ada di Semenanjung Tanah mahupun di Bumi Kenyalang ini.

    "Sudah pasti dalam tempoh 80 tahun kewujudannya, PKMS telah banyak mengharungi liku-liku perjuangan penuh dengan cabaran yang telah mendewasakan serta mematangkan PKMS dalam memperjuangkan harapan dan inspirasi orang-orang Melayu di Sarawak ini."

    Memberi contoh, beliau berkata, PKMS juga telah berjuang menentang penjajah lewat tahun 1940’an dan bertindak sebagai "suara Melayu", PKMS juga telah menunjukkan keberanian dan kewibawaannya dalam menentang penjajah Inggeris pada zaman itu.

    Naroden, yang juga merupakan ADUN Gedong berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Ramahtamah Aidilfitri PKMS 2018 yang berlangsung di Dewan Sri Bunga Rampai, Kuching pada hari ini.

    "Saya berharap semangat juang veteran-veteran PKMS masa lalu akan terus dihayati dan disemarakkan oleh para pejuang dan para pemimpin Melayu serta kaum bumiputera yang lain di Sarawak pada masa kini dan masa hadapan," katanya lagi.

    Turut hadir pada majlia tersebut adalah YDP PKMS Dr Haji Abas Abang (YDP PKMS), Pengerusi Majlis Ramahtamah Aidilfitri PKMS 2018 Haji Sahmat Materang, Pengerusi Bido Pendidikan merangkap Naib YDP PKMS Haji Ahmad Sabu dan dif-dif jemputan yang lain.

    Selain dari meyampaikan hadiah galakan pelajar PKMS, Naroden juga menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada tabung PKMS.
  • No Comment to " Perjuangan PKMS Harus Di Contohi - Naroden "