• Perayaan Gawai Dayak Menjadi Kekuatan Kesatuan - Abang Johari

    Reporter: M. H. W.
    Published: Saturday, 2 June 2018
    A- A+

    KUCHING - Perayaan Gawai Dayak bukan hanya sambutan menuai tetapi menjadi kekuatan kesatuan dan simbol aspirasi serta harapan keharmonian di negeri ini.

    Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, hubungan kekeluargaan dikalangan rakyat Sarawak menjadi amalan pelbagai kaum bagi menunjukkan keakraban antara satu sama lain.

    "Sehingga hari ini, masih ada antara kita menyapa satu sama lain sebagai 'madi' atau 'menyadi' iaitu dalam bahasa iban bermaksud abang.

    "Kita bangga sebagai rakyat Sarawak hidup dalam kekeluargaan tanpa halangan daripada perbezaan kaum dan agama secara harmoni maka pandangan politik seharusnya tidak menjadi tembok pemisah," katanya.

    Beliau berkata demikian dalam Perutusan Perayaan Gawai Dayak 2018 di sini hari ini.

    Perayaan Gawai merupakan sebahagian adat tradisi yang kini sebagai hari kesyukuran menandakan berakhir musim menuai disamping mengharapkan hasil lebih baik pada tahun hadapan.

    Tambah Abang Johari, beliau juga bersyukur pada tahun ini pertunjukkan kebudayaan Dayak dan perarakan termasuk penyertaan dari negara jiran di Kuching pada 22 Jun nanti.

    "Perarakan sejauh 1.5 kilometer itu yang berakhir di Tebingan Kuching akan menunjukkan keunikan dan pakaian tradisional Dayak bersama muzik dan tarian," ujarnya.

    Dalam pada itu, Abang Johari bersama keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Gawai Dayak 2018 kepada rakan-rakan yang berketurunan Dayak dan semoga saudara dan saudari meraikan hari penuh dengan tradisi dan signifikan ini dalam suasana ceria dan harmoni.

    "Kita berdoa agar saudara dan saudari yang dalam perjalanan ke destinasi masing-masing sempena musim perayaan ini sentiasa dalam keadaan selamat.

    "Mereka yang sudah berada di rumah panjang atau kampung masing-masing, saya mengucapkan selamat bercuti dan bersuka ria di samping keluarga dan sahabat handai," jelasnya. - UTUSAN ONLINE
  • No Comment to " Perayaan Gawai Dayak Menjadi Kekuatan Kesatuan - Abang Johari "