• Pendengaran Kes Petronas Terhadap Kerajaan Sarawak Ditunda 21 Jun

    Reporter: M. H. W.
    Published: Tuesday, 12 June 2018
    A- A+

    KUCHING - Mahkamah Persekutuan hari ini memaklumkan pendengaran permohonan Petronas untuk memulakan prodising terhadap Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Artikel 128 (1) Perlembagaan Persekutuan, ditunda kepada 21 Jun 2018.

    Pejabat Ketua Menteri menerusi satu kenyataan akhbar hari ini berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Mahkamah Persekutuan kepada pasukan Jabatan Peguam Negara (SAG) negeri Sarawak melalui panggilan telefon lewat petang tadi.

    Mahkamah Persekutuan mempersetujui permohonan Peguam Negara Persekutuan (FAG) untuk menangguhkan sesi pendengaran bagi membolehkan beliau membuat pertimbangan sama ada Kerajaan Persekutuan patut campur tangan dalam kes ini.

    Adalah mengejutkan apabila Petronas, yang membuat permohonan itu dan memohon pendengaran segera, tidak membantah penangguhan sesi pendengaran kes tersebut.

    "Kerajaan Negeri ingin menyatakan rasa kecewa yang amat dalam atas penangguhan secara tiba-tiba sesi pendengaran kes ini, lebih-lebih lagi apabila Petronas, Dewan FAG dan pendaftar Mahkamah Persekutuan telah dimaklumkan oleh pasukan peguam SAG, bahawa Kerajaan Negeri membantah permohonan untuk penangguhan

    "Penangguhan itu diberikan tanpa memaklumkan kepada pasukan peguam SAG, yang sudah berada di ibu negara, yang bersungguh-sungguh mendengar bantahan Kerajaan Negeri.

    "Selain itu, semua afidavit dan penghujuhan untuk sesi pendengaran telah dihantar hari ini ke mahkamah sebagai persediaan untuk sesi pendengaran," jelas Pejabat Ketua Menteri.

    Katanya, kini Kerajaan Negeri perlu mempertimbangkan semua pilihan lain untuk melindungi dan menguatkuasakan hak-hak perlembagaan negeri dalam hal berkenaan.

    "Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan Petronas menghina dan mengetepikan hak-hak Sarawak dalam mengawal aktiviti-aktiviti huluan di bawah undang-undang negeri seperti Ordinan Perlombongan Minyak dan Kanun Tanah," katanya lagi.

    Sementara itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hashidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pihaknya menghormati keputusan mahkamah.

    "Meskipun kecewa, kita hormati keputusan mahkamah. Kita akan menegakkan dan melindungi hak-hak perlembagaan negeri yang mesti dihormati oleh semua," katanya. - UTUSAN BORNEO
  • No Comment to " Pendengaran Kes Petronas Terhadap Kerajaan Sarawak Ditunda 21 Jun "