• Pemimpin PH Sarawak Perlu Nyata Pendirian Mengenai Isu Petronas

    Reporter: M. H. W.
    Published: Wednesday, 6 June 2018
    A- A+

    PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) Sarawak terutama yang menang pada pilihan raya umum baru-baru ini mesti menyatakan pendirian mereka mengenai langkah Petronas mengambil tindakan undang-undang berhubung Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA).

    Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing (gambar) dalam satu kenyataan berkata, semua janji dan ikrar mereka sekadar 'omong kosong' jika mereka berdiam diri.

    "Kesenyapan mereka bermakna mereka mengkhianati rakyat mereka sendiri. Adakah ini ‘hadiah’ pertama PH kepada rakyat Sarawak selepas menabur semua janji manis mereka?," katanya.

    Ahli Parlimen Bintulu itu bertanya sama ada tindakan undang-undang yang difailkan oleh Petronas di Mahkamah Persekutuan telah diambil atas perintah kerajaan persekutuan baharu atau sebaliknya.

    Beliau menambah, Petronas diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan dan ia pasti sukar untuk membayangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak dimaklumkan oleh lembaga Petronas tentang hasratnya untuk memfailkan permohonan ini.

    "Lim Guan Eng telah menyatakan sebelum pilihan raya lepas bahawa hak Sarawak mesti dilindungi tetapi sekarang sebagai Menteri Kewangan, beliau telah membiarkan Petronas untuk mengambil tindakan mahkamah bagi merampas hak Sarawak ke atas sumber petroleumnya.

    “Saya menyeru kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyatakan pendirian kerajaan persekutuan mengenai perkara ini kerana kesenyapan akan dianggap sebagai kebenaran tanpa kata-kata yang diberikan kepada Petronas untuk menuntut hak eksklusif ke atas sumber petroleum di negara ini," katanya.

    Beliau pada masa yang sama menyeru kepada semua rakyat Sarawak, tanpa mengira fahaman politik, untuk perlu berdiri teguh dan menyokong sepenuhnya Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam mendepani cabaran daripada Petronas berhubung pemilikan sumber petroleum di Malaysia.

    "Sekarang masanya sudah tiba bagi rakyat Sarawak untuk berdiri dan diambil kira bagi melindungi hak asasi kita dalam perlembagaan daripada cubaan oleh Petronas untuk merompak sumber semula jadi kita,” katanya.

    Tiong memberi jaminan bahawa PDP akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Abang Johari dan kerajaan Sarawak dalam usaha untuk mempertahankan hak Sarawak, dan menyeru kepada semua parti politik di Sarawak untuk menyatakan pendirian mereka mengenai perkara itu.

    Tiong berkata isu berkenaan satu tamparan kepada semua warga Sarawak, terutamanya mereka yang mengundi PH  dalam pilihan raya lepas, kerana perkara nombor satu dalam senarai jaminan mereka dalam manifesto pilihan raya mereka adalah memberi royalti petroleum 20 peratus kepada Sarawak. - Utusan Borneo
  • No Comment to " Pemimpin PH Sarawak Perlu Nyata Pendirian Mengenai Isu Petronas "