• Mesyuarat Kabinet Beberapa Hari Lagi Akan Bincang PMPG

    Reporter: M. H. W.
    Published: Monday, 25 June 2018
    A- A+

    KUCHING - Kabinet Sarawak akan bermesyuarat dalam beberapa hari akan datang untuk membincangkan perkara berkaitan Pemakai Menoa dan Pulau Galau (PMPG).

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, isu tanah merupakan sesuatu yang sensitif dan sangat dekat di hati pemiliknya.

    Justeru katanya, pasukan petugas PMPG diketuai Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan jawatankuasa kerja diketuai Timbalan Setiausaha Negeri (Transformasi Luar Bandar) Datu Jaul Samion telah bekerja keras untuk menyelesaikannya.

    Pasukan petugas tersebut, katanya, juga telah membawa kepada perhatian beliau pelbagai cadangan untuk menangani isu PMPG yang tertangguh.

    “Ramai orang berpendapat bahawa ini adalah isu yang sangat lurus, tetapi saya boleh memberi jaminan bahawa jawatankuasa ini telah membincangkannya selama beberapa bulan lepas.

    “Akhirnya, kita kini dapat melihat sinar di hujung terowong. Saya akan mengemukakan perkara ini untuk perbincangan pada mesyuarat kabinet akan datang dalam beberapa hari ini.

    “Saya juga boleh memberi jaminan kepada komuniti orang asal bahawa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Julai ini, akan ada hadiah untuk komuniti ini,” ujarnya.

    Abang Johari berkata demikian pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Penview (PCC) di sini malam kelmarin yang dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.

    Pada majlis itu, Abang Johari menyatakan komitmen beliau untuk mencari pendekatan terbaik bagi menangani isu-isu berkaitan dengan penyertaan komuniti dalam perkhidmatan awam.

    Katanya, beliau sedia maklum akan kebimbangan dan jangkaan yang semakin meningkat dalam kalangan komuniti Dayak untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam perkhidmatan awam.

    “Komuniti Dayak berasa bahawa terdapat keperluan untuk lebih ramai dari kalangan mereka dalam sektor kerajaan sama ada di peringkat persekutuan mahupun perkhidmatan awam negeri.

    “Saya percaya ini adalah kebimbangan yang benar dan isu yang perlu kita kaji dengan berhati-hati ke arah masyarakat yang harmoni pada masa akan datang.

    “Saya perlu berbincang dengan rakan-rakan saya dalam kabinet berhubung pelbagai isu dalam perkhidmatan awam dan mencari pendekatan untuk menangani isu-isu ini,” katanya.

    Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Utiliti Dato Sri Stephen Rundi Utom merangkap pengerusi jawatankuasa pengelola, pemimpin-pemimpin Dayak yang lain bersama lebih 2,000 tetamu. - UTUSAN BORNEO
  • No Comment to " Mesyuarat Kabinet Beberapa Hari Lagi Akan Bincang PMPG "