• Mayat Tiga Mangsa Yang Hilang Di Sungai Poi Sudah Ditemui

    Reporter: M. H. W.
    Published: Sunday, 3 June 2018
    A- A+

    KANOWIT - Mayat tiga lelaki yang terdiri daripada dua beradik dan seorang kanak-kanak berusia 2 tahun yang hilang di Sungai Poi, dua hari lepas di lokasi lebih dua jam perjalanan dengan bot menghulu dari sini, sudah ditemui hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mayat mangsa pertama iaitu kanak-kanak, Roderick Benedict Rody, ditemui ibu bapanya pada jam 9.45 pagi kira-kira 6km dari tempat dilaporkan hilang.

    Beliau berkata mayat mangsa kedua, Henry Tatau, 28, ditemui lima minit kemudian oleh bapanya, di kedudukan kira-kira 5km dari tempat beliau dilaporkan hilang.

    Mayat mangsa terakhir, Presley Tatau, 27, pula ditemui sekitar pukul 2.45 petang oleh orang kampung, kira-kira 5km dari lokasi kejadian.

    "Ketiga-tiga mayat telah diserahkan kepada pihak polis di Nanga Menalun untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini.

    Beliau menjelaskan pada kejadian Khamis lalu, kesemua mangsa sedang mandi di sungai berkenaan sebelum dihanyutkan oleh arus deras dan bukannya berpunca daripada kejadian bot panjang terbalik sebagaimana yang difahamkan sebelum ini.

    Operasi mencari yang diketuai oleh Ketua Balai Bomba Kanowit, Arrahman Chik ditamatkan pada jam 4.25 petang tadi.- BERNAMA
  • No Comment to " Mayat Tiga Mangsa Yang Hilang Di Sungai Poi Sudah Ditemui "