• Masalah air ditangani

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 5 June 2018
    A- A+


    MUKAH: Kerajaan Sarawak serius dalam menangani masalah bekalan air bersih di daerah Dalat dengan memperuntukkan RM34 juta untuk menaik taraf kemudahan itu di beberapa kawasan.

    Ini termasuk menukar lokasi pam utama ke kawasan lebih sesuai dan menaik taraf secara keseluruhan kemudahan itu di beberapa kawasan di Dalat.

    Menurut taklimat daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), penukaran lokasi pam utama dari Batang Oya ke Sungai Kut adalah dengan kadar segera sementara projek lain mengambil masa 18 bulan untuk siap.

    “Penukaran pam dari Batang Oya ke Sungai Kut adalah dalam kadar segera,” menurut taklimat berkenaan.

    Sumber air baharu itu dikatakan bakal menyalurkan sumber air lebih berkualiti serta mempunyai dasar sungai lebih dalam berbanding di kawasan sedia ada.

    Sementara itu, beberapa projek naik taraf bekalan air akan dilakukan termasuk di kawasan Klid-Naruh, Sungai Baoh, Dalat serta Oya.

    Projek-projek berkenaan memerlukan tempoh masa 18 bulan untuk disiapkan.

    Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah menerusi kenyataannya mengucapkan terima kasih atas kelulusan empat projek dimaksudkan.

    “Dengan projek yang telah diluluskan, maka berakhirlah gangguan bekalan air bersih dialami penduduk daerah Dalat tidak lama lagi,” katanya.

    Usaha menyelesaikan masalah berkenaan katanya, bermula pada awal 2017.

    Ini termasuk melalui usaha meminta peruntukan khas, perjumpaan, perbincangan serta panggilan telefon kepada pihak berkaitan.

    “Saya terharu akhirnya ketua menteri sudi turun padang pada hari ini (semalam), bahkan turut meluluskan projek bagi menyelesaikan masalah ini,” jelas Fatimah.

    Antara masalah utama adalah sumber air yang diambil di Batang Oya sebelum ini mengandungi air masin dari laut.

    Manakala tiga lagi kawasan turut bakal menyaksikan usaha menaik taraf punca air dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan.

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Sungai Kut di Kampung Sungai Kut Muara dekat sini, tengah hari semalam.-Utusan Borneo
  • No Comment to " Masalah air ditangani "