• Lebih 100 Kubur Islam Di Spaoh Jatuh Ke Sungai

    Reporter: M. H. W.
    Published: Tuesday, 26 June 2018
    A- A+

    KUCHING - Lebih 100 kubur orang Islam di tanah perkuburan Seruai daerah Spaoh telah jatuh ke dalam Sungai Saribas akibat hakisan tanah di tebing Sungai Saribas.

    Kejadian itu disedari ketika waris-waris kubur berkenaan melakukan kerja pembersihan tanah perkuburan Seruai pada 10 Jun lepas, kata Ketua Cabang PKR Batang Lupar Abang Zulkifli Engkeh.

    "Hakisan tanah itu dipercayai akibat akitiviti mengorek dan mengepam pasir di sekitar Sungai Saribas oleh sebuah syarikat swasta," katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Sembilan buah kampung di sepanjang sungai berkenaan mengalami hakisan dan runtuhan tanah iaitu Kampung Spaoh, Kampung Bungin, Kampung Belingan, Kampung Sebemban, Kampung Tanjung Asam, Kampung Serembang, Kampung Budak, Kampung Supa dan Kampung Mangut.

    Yang paling ketara menerima kesan aktiviti itu ialah Kampung Balingan dan Kampung Sebemban.

    Abang Zulkafli berkata, satu laporan polis mengenai kejadian itu dibuat di Balai Polis Gita di sini hari ini untuk siasatan dan tindakan sewajarnya oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei Negeri Sarawak, Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Asli, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan tindakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

    Beliau menambah bahawa kegiatan mengorek dan pengepam pasir dari Sungai Saribas harus segera dihentikan kerana ia turut meletakkan beberapa buah sekolah berhadapan risiko tumbang ke dalam sungai dan dihanyut air sungai.

    Zulkifli, yang juga bekas timbalan pengerusi PKR Negeri Sarawak, menggesa agar kerajaan negeri menyegerakan kerja penyambungan bekalan air luar bandar di kawasan Saribas.

    Lebih 2,000 keluarga di kawasan berkenaan masih belum mendapat kemudahan air paip walaupun Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berjanji bahawa pelaksanaannya akan disegerakan.- BERNAMA
  • No Comment to " Lebih 100 Kubur Islam Di Spaoh Jatuh Ke Sungai "