• KM Lulus RM150 Juta Untuk Bina Saluran Paip Baharu

    Reporter: M. H. W.
    Published: Monday, 11 June 2018
    A- A+

    SADONG JAYA - Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan peruntukan RM150 juta bagi menangani masalah air yang dihadapi penduduk di kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan, Sebangan dan Sebuyau.

    Berita gembira itu diumumkannya selepas mendengar taklimat bekalan air dari Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pesantren Abdul Taib Mahmud semasa tinjauan mesra beliau ke Sadong Jaya di sini hari ini.

    "Apa yang telah kita putuskan hari ini bahawa kita membina saluran paip baharu untuk semua kawasan berkenaan yang akan menelan peruntukan sebanyak RM150 juta.

    "Dan saya yakin bahawa pihak JBALB mampu untuk melaksanakan projek ini dalam masa 18 bulan," katanya ketika ditemui pemberita selepas talimat berkenaan.

    Abang Johari menambah, ia akan dilaksanakan menerusi beberapa pakej bagi membolehkan projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan segera mengikut pakej tersebut.

    Menurutnya, beliau telah menjelajah beberapa tempat di Sarawak yang mengalami masalah gangguan bekalan air dan untuk itu jalan penyelesaian secara jangka pendek dan jangka panjang perlu diambil.

    "Sekarang ini kita ada masalah air di Simunjan, Sadong Jaya, Asajaya, Sebangan dan Sebuyau dan nampaknya kita perlu menggunakan pendekatan baharu di mana kita tidak boleh bergantung kepada sistem saluran paip lama yang sudah berumur lebih 40 tahun.

    "Bagi jangka masa pendek kita membina saluran paip baharu bagi kawasan ini dan untuk jangka masa panjang pula kita dalam masa sama melaksanakan Sistem Grid Air yang menggunakan sumber air dari empangan yang ada," jelasnya.

    Beliau memberitahu, sistem saluran paip baharu itu akan dibina di sepanjang jalan Kota Samarahan hingga ke Sebuyau dan mengambil sumber bekalan air dari Loji Rawatan Air Batu Kitang.

    Malah, katanya, satu jawatankuasa tugas khas juga akan dibentuk bagi memantau pelaksanaan projek berkenaan.

    Hadir sama, Menteri Utiliti, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Menteri Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi; Menteri Muda E-Perdagangan, Datuk Mohd Naroden Majais; Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri; Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Aidel Laridoo, ADUN Simunjan Awla Dris, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Mohamad Abu Bakar Marzuki dan tetamu kehormat lain.-UTUSAN BORNEO
  • No Comment to " KM Lulus RM150 Juta Untuk Bina Saluran Paip Baharu "