• Kerjasama Antara Kerajaan Negeri, Pusat Demi Kebaikan Rakyat Sarawak

    Reporter: M. H. W.
    Published: Monday, 4 June 2018
    A- A+

    KUCHING - Kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan tetap dijalinkan demi pembangunan dan kebaikan rakyat Sarawak.

    Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memberitahu pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 31 Mei lalu di Putrajaya ada menyentuh tentang kerjasama antara dua kerajaan tersebut.

    Malah tegasnya, kunjungan hormat itu juga tanda penghormatan ke atas pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Ketujuh.

    “Apa yang saya katakan sebelum ini iaitu kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan demi kebaikan dan manfaat rakyat Sarawak dalam konteks pembentukan Malaysia itu sahaja,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pertemuanya dengan Perdana Menteri pada 31 Mei lalu di Putrajaya selepas merasmikan Program Perdana Bubur Lambuk dan Bubur Pedas di Tebingan Sungai Kampung Bintangor Kecil di sini, semalam.

    Terdahulu dalam ucapanya, Abang Johari berkata, rakyat Sarawak tidak perlu khuatir kerana Perdana Menteri telah memberi jaminan untuk menjalinkan kerjasama tersebut.

    “Kita di Sarawak jangan khuatir kerana pimpinan dari Kuala Lumpur (Dr Mahathir) telah memberi jaminan bersama dengan saya bahawa kita akan bekerjasama dari sudut mentadbir negara ini.

    “Malaysia hendaklah negara yang kukuh dan mempunyai satu pemerintahan yang baik dan stabil, kita di negeri Sarawak membantu mereka dari sudut kerajaan pusat,” jelasnya.

    Pada masa sama beliau menegaskan, pembangunan di Sarawak tetap diteruskan dengan menggunakan sumber yang sedia ada di negeri ini.

    “Kita akan teruskan laksana apa sahaja program pembangunan di peringkat negeri dan alhamdulillah, kita telah mengambil beberapa pendekatan dan juga pentadbiran kita bersama kerajaan pusat sekarang.

    “Dari itu, jangan bimbang kerana Sarawak mempunyai sumber yang ada dan kita tadbir urus dengan baik sumber kita dan meneruskan pembangunan demi masa depan negeri Sarawak,” ujarnya.

    Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak yang memberi sokongan padu kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.- UTUSAN BORNEO
  • No Comment to " Kerjasama Antara Kerajaan Negeri, Pusat Demi Kebaikan Rakyat Sarawak "