• Kerajaan Negeri Sarawak Akan Pertahankan Hak Mengurus Minyak Dan Gas

    Reporter: M. H. W.
    Published: Tuesday, 5 June 2018
    A- A+

    KUCHING - Kerajaan Negeri Sarawak akan melakukan segalanya dalam kuasa dimiliki mengikut prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) bagi mempertahankan hak dalam saman dibuat Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

    Menurut Menteri Muda Perundangan, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Jabatan Peguam Besar Sarawak telah menerima notis dari Pendaftar Mahkamah Persekutuan bahawa kerajaan negeri menjadi parti dalam saman berkenaan.

    “Kes Petroliam Nasional Berhad vs Kerajaan Negeri Sarawak yang mana kebenaran merayu dibuat mengikut Artikel 4(4) Perlembaan Persekutuan.

    “Ia akan didengar pada Selasa minggu hadapan bersamaan 12 Jun di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini sebentar tadi.

    Tambahnya, buat masa ini, kerajaan negeri belum menerima sebarang usul yang difailkan Petronas berkenaan permohonan itu.

    Sementara itu, Petronas dalam kenyataan memberitahu, mereka telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mendapatkan pengisytiharaan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) sebagai undang-undang terpakai bagi industri petroleum di negara termasuk Sarawak hari ini.

    “Sehubungan itu mereka adalah pemilik eksklusif sumber petroleum dan mengawal selia industri huluan.

    “Petronas percaya keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan itu nanti akan membantu memberikan kejelasan mengenai hak dan kedudukannya mengikut PDA,” ujarnya.

    Mengulas lanjut, katanya, Petronas kekal komited menyokong aspirasi Sarawak menyertai dalam industri minyak dan gas di negeri itu selagi berada dalam rangka kerja PDA. - UTUSAN ONLINE
  • No Comment to " Kerajaan Negeri Sarawak Akan Pertahankan Hak Mengurus Minyak Dan Gas "