• Kabinet Sarawak Setuju Pindaan Kanun Tanah Negeri Dibentangkan Pada Julai

    Reporter: M. H. W.
    Published: Friday, 29 June 2018
    A- A+

    KUCHING - Kabinet Sarawak telah bersetuju agar pindaan Kanun Tanah Negeri dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung Julai depan.

    Pindaan Kanun Tanah Negeri berkenaan dijangka akan menyelesaikan masalah tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) iaitu Pemakai Menoa dan Pulau Galau.

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia hasil daripada mesyuarat kabinet negeri yang diadakan semalam.

    “Tiada banyak perkara dalam mesyuarat, ia cuma mesyuarat kabinet biasa.

    “Kecuali satu perkara iaitu kita akan membentangkan pindaan Kanun Tanah Negeri mengenai Pemakai Menoa dan Pulau Galau untuk dibentang pada Persidangan DUN Julai nanti,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Gawai Raya Jabatan Ketua Menteri 2018 yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib di Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini, semalam.

    Sebelum ini pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak 2018, Abang Johari berkata beliau akan mengemukakan perkara itu untuk dibincangkan pada mesyuarat kabinet.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pulau Galau dan Pemakai Menoa Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika ditemui pada majlis yang sama berkata, beliau enggan mengulas lanjut sehingga rang undang-undang berkenaan dibentangkan.

    “Saya telah membentangkan draf cadangan rang undang-undang pindaan dan kabinet (semasa mesyuarat) bersetuju.

    “Ia dijadualkan untuk dibentang pada Persidangan DUN akan datang… saya tidak dapat memberi butiran lanjut sehingga persidangan,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata perkara itu masih sulit sehingga ia dibentangkan beliau pada persidangan nanti.

    Sementara itu majlis Gawai Raya Jabatan Ketua Menteri semalam turut dihadiri menteri-menteri kabinet lain.

    Pelbagai persembahan diadakan selain daripada menyediakan 19 gerai makanan dan minuman untuk tetamu yang hadir.
  • No Comment to " Kabinet Sarawak Setuju Pindaan Kanun Tanah Negeri Dibentangkan Pada Julai "