• BN Sarawak Dibubarkan Mulai Hari Ini

    Reporter: M. H. W.
    Published: Tuesday, 12 June 2018
    A- A+

    KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan sebuah parti baharu, dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak bermula hari ini.

    Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan meninggalkan BN itu diputuskan sebulat suara oleh empat parti komponen BN Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi BN Sarawak pagi ini.

    Katanya, pendirian itu dibuat selepas membuat perbincangan, maklum balas dan pertimbangan keadaan semasa politik di negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    “Parti komponen BN Sarawak terdiri daripada PBB, SUPP, PRS dan PDP telah membuat keputusan sebulat suara untuk meninggalkan BN dan menubuhkan gabungan baharu berasaskan parti Sarawak dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya dalam sidang akhbar selepas 
mempengerusikan Majlis Tertinggi BN Sarawak di Ibu Pejabat PBB di sini.

    Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, GPS akan kekal sebagai pembangkang tetapi mengamalkan sikap mesra terhadap kerajaan Pusat di bawah Pakatan Harapan mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada BN yang membawa banyak kemajuan kepada Sarawak selama berada di bawah BN sebelum ini.

    Kerajaan Sarawak dianggotai oleh empat parti komponen menyertai BN sejak 1974 dan berjaya mengkukuhkan parti itu apabila muncul sebagai ‘kubu kuat’ atau ‘deposit’ BN sehinggalah PRU-14.

    Pada PRU-14, BN Sarawak berjaya memenangi 19 daripada 31 Parlimen selepas gagal mempertahankan 12 kerusi yang disandang sebelum ini.-UTUSAN ONLINE
  • No Comment to " BN Sarawak Dibubarkan Mulai Hari Ini "