• Wanita Arab Saudi Dibenar Memandu Mulai 24 Jun

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 9 May 2018
    A- A+

    RIYADH - ARAB SAUDI. Jabatan Trafik Umum Arab Saudi hari ini mengumumkan kaum wanita di negara itu akan dibenarkan memandu mulai 24 Jun ini.

    Ketua Pengarah Lalulintas Mohammed al-Bassami memaklumkan dalam satu kenyataan rasmi kerajaan bahawa kesemua peraturan bagi membolehkan wanita di negara itu memandu telah ditetapkan.

    Pada September 2017, satu dekri diraja mengumumkan berakhirnya pengharaman selama beberapa dekad ke atas pemandu wanita.

    Bassami menambah, wanita berusia 18 tahun ke atas dibenar memohon lesen memandu.

    Sekolah memandu wanita turut ditubuhkan di lima bandar serata negara di mana tenaga pengajarnya merupakan wanita Saudi yang memperoleh lesen mereka di luar negara.

    Sementara itu, wanita yang mempunyai lesen memandu luar negara juga boleh memohon lesen memandu tempatan melalui satu proses berasingan yang akan menilai kemahiran memandu mereka.

    "Ia sudah diketahui bahawa ramai wanita di Arab Saudi memegang lesen memandu dari luar negara," kata kenyataan itu.

    Terdahulu golongan wanita di Arab membuat petisyen terhadap kerajaan bagi menamatkan sekatan terbabit malah turut memandu sebagai tanda protes.

    Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, 32, dilihat sebagai kuasa di belakang penamatan larangan itu, ia merupakan sebahagian dari siri Wawasan 2030 bertujuan untuk menjadikan wanita hampir satu pertiga daripada tenaga kerja berbanding hanya kira-kira 22 peratus sekarang.

    Keputusan untuk membenarkan wanita memandu membolehkan mereka bergerak dengan mudah sekaligus menggalakkan mereka menyertai tenaga kerja. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Wanita Arab Saudi Dibenar Memandu Mulai 24 Jun "