• Tular Pesakit Pengsan Disyaki Bawa Virus Berbahaya Di Sibu Bukan Ebola - Dr. Jamilah

    Reporter: M. H. W.
    Published: Monday, 28 May 2018
    A- A+


    KUCHING - Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menjelaskan bahawa seorang lelaki berbangsa Iban didapati pengsan disyaki akibat virus berbahaya di sebuah pasaraya di Sibu pada pukul 3.30 petang semalam yang tular di media sosial bukannya disebabkan virus Ebola.

    Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr. Jamilah Hashim berkata, lelaki tersebut berasal dari Kapit merupakan pekerja yang balik bercuti dari Republik Demokratik Congo, Afrika pada 29 April lalu yang mana kawasan tempat kerjanya adalah bukan dari kawasan wabak Ebola.

    Katanya, laporan awal yang diterima daripada Hospital Sibu bahawa pesakit masih dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diberi bantuan alat pernafasan.

    "Tanda gejala klinikalnya yang bukan menyerupai gejala Ebola dan tempoh mulanya melepasi tempoh pengeraman penyakit itu mengukuhkan lagi ia bukan disebabkan virus berkenaan.

    "Buat masa sekarang, pesakit itudirawat sebagai jangkitan virus selain Ebola bagaimanapun, pihak Hospital Sibu masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan punca kejadian," katanya dalam kenyataan akhbar di sini sebentar tadi.

    Tambah Jamilah, pihaknya juga telah mengarahkan Hospital Sibu dan Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu untuk mempertingkatkan tahap berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan kes berkenaan.

    "Dalam masa yang sama, JKNS menasihatkan orang ramai yang pulang bercuti terutama dari negara-negara termasuk Afrika, sekiranya sakit diminta mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di hospital atau klinik berdekatan dengan kadar segera," jelasnya. - UTUSAN ONLINE
  • No Comment to " Tular Pesakit Pengsan Disyaki Bawa Virus Berbahaya Di Sibu Bukan Ebola - Dr. Jamilah "