• Tukar PM: Jangan susahkan rakyat - Abdul Hadi

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 16 May 2018
    A- A+

    KUALA TERENGGANU 16 Mei - Pas tidak akan mencampuri urusan kerajaan Pusat mengenai kedudukan Perdana Menteri dan tempoh berapa lama jawatan itu disandang asal tidak sekali-kali menyusahkan rakyat dan meletakkan keadaan tidak menentu.

    Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Pas mengharapkan agar proses peralihan kelak dilakukan dengan betul serta lebih menjamin kestabilan.

    Apa yang penting jelas beliau, pemerintah Islam mesti menguasai negara ini setelah mengambil kira majoriti rakyat adalah yang beragama Islam.

    "Terpulang kepada mereka yang dapat kuasa, kita harap proses itu tidak menimbulkan kesusahan kepada rakyat. Kita harap proses yang betul, baik dan lebih menjamin.

    "Yang penting Islam mesti menguasai negara, saya nak ingatkan bahawa majoriti rakyat adalah orang Islam," katanya kepada pemberita selepas program Himpunan Kesyukuran Kerajaan Rakyat Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak dekat Kuala Nerus malam tadi.

    Yang turut hadir, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Pegawai Kewangan negeri, Datuk A. Rahman Yahya serta seluruh kepemimpinan kerajaan Pas Terengganu termasuk Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Hussin Awang.

    Abdul Hadi diminta mengulas kedudukan jawatan Perdana Menteri yang kini disandang Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dikatakan tidak lama sebelum diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh setahun dua ini.

    Ahli Parlimen Marang itu seterusnya menegaskan Pas akan sentiasa berdiri teguh demi mempertahankan martabat dan kedaulatan Islam di negara ini daripada digannggu gugat mana-mana pihak.

    "Pas akan bersama pertahankan Islam yang ada. Sebarang langkah yang menjejaskan Islam dan umatnya, Pas akan bangkit untuk pertahankannya," jelasnya.

    Dalam pada itu, program kesyukuran yang dihadiri kira-kira 10,000 umat Islam merupakan himpunan yang julung kali diadakan selepas Pas kembali membentuk kerajaan di Terengganu setelah mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).- UTUSAN ONLINE



    Subjects:

  • No Comment to " Tukar PM: Jangan susahkan rakyat - Abdul Hadi "