• Topi Hanifah Jadi Tumpuan Sepanjang Kempen

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 1 May 2018
    A- A+
    Foto Mohd Roji Kawi
    MUKAH: Sejak hari pertama namanya disebut sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Mukah, ramai yang tertarik melihat gambar Datuk Hanifah Hajar Taib dengan imej bertopi.

    Malah, pada hari penyampaian watikah oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg di bandar raya Kuching sebelum ini, Hanifah, 46, tetap muncul dengan imej begitu.

    Kini, selepas tempoh berkempen memasuki hari keempat, topi kesayangan tetap tidak lekang di kepala anak bongsu Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud itu.

    Ketika diajukan soalan berkaitan topinya itu, Hanifah sambil ketawa berkata, tiada apa yang istimewa atau pelik mengenainya.

    "Mungkin orang ramai baru sedar saya memakai topi ini. Sebenarnya, tiada apa yang istimewa kerana saya memakainya hanya untuk menutup kepala.

    "Saya memang gemar memakai topi sejak dahulu lagi dan bagi yang rapat dengan saya, mereka tahu sudah lama saya memakai topi jenis ini," katanya ketika ditemui NSTP.

    Hanifah berkata, beliau mempunyai koleksi topi jenis sama dan ketika berkempen di kawasan Mukah, topi yang dipakainya mempunyai lambang BN dan bendera Sarawak.

    "Saya selesa bertopi seperti ini dan akan terus memakainya," katanya.

    Ditanya mengenai penerimaan penduduk Mukah terhadapnya, Hanifah berkata, beliau gembira kerana dalam tempoh empat hari berkempen, beliau diterima dengan baik.

    Malah, seorang tokoh tempatan yang disebut-sebut akan dicalonkan di Parlimen Mukah sebelum ini, Datuk Dr Malike Mahli, turut giat membantu kempennya, terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat.

    "Saya terharu dengan sokongan yang ditunjukkan penduduk Mukah sehingga hari ini.

    "Berkempen bukan sesuatu yang baharu bagi saya kerana sejak umur dua tahun saya sudah mengikut ayahanda Tun berkempen," katanya. - BH Online
  • No Comment to " Topi Hanifah Jadi Tumpuan Sepanjang Kempen "