• Tiga Program Utama Sempena Sambutan Hari Gawai Di Sarawak

    Reporter: M. H. W.
    Published: Sunday, 27 May 2018
    A- A+

    KUCHING - Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2018 di Pusat Konvensyen Penview (PCC) di sini pada 23 Jun, akan menjadi acara kemuncak kepada tiga program utama yang dirancang untuk sambutan perayaan Hari Gawai di Sarawak tahun ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Datuk Seri Stephen Rundi Utom dalam satu kenyataan berkata sambutan gawai di Sarawak cukup unik dengan jalinan kerjasama tiga masyarakat Dayak utama di sini, yakni Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

    Beliau berkata sambutan Gawai peringkat negeri dimulakan sejak 1987 melibatkan tiga komuniti utama itu akan menjadi Tuai Gawai, atau ketua sambutan gawai secara bergilir, dan tahun ini sambutan akan diketuai komuniti Iban, selepas Orang Ulu mengetuai sambutannya tahun lepas.

    "Tiga program utama dirancang ialah Bazar Gawai Dayak di bahagian Kuching, Sibu dan Bintulu diadakan secara berperingkat sehingga 23 Jun; Perarakan Gawai Dayak di Tebingan Sungai Kuching pada 22 Jun dan Majlis Makan Malam Gawai Dayak pada 23 Jun," menurutnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di penghujung mesyuarat jawatankuasa dipengerusikannya di pejabat Kementerian Utiliti Sarawak di sini hari ini.

    Acara perarakan yang kali terakhir diadakan di sini pada 1994, akan menyaksikan kira-kira 100 kontinjen daripada pelbagai suku kaum Dayak lengkap dengan pakaian tradisional masing-masing, berarak di laluan sejauh 1.6km sekitar Tebingan Sungai Kuching, dengan membuat empat hentian.

    Stephen Rundi berkata di setiap hentian di sekitar Tebingan Sungai Kuching, kontinjen yang terpilih akan menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan, dan perarakan itu juga akan disertai kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi bagi memeriahkannya.

    Majlis Makan Malam Gawai Dayak pula akan dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud serta isteri sebagai tetamu terhormat, dan majlis itu juga akan dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta barisan kabinet kerajaan negeri. - BERNAMA
  • No Comment to " Tiga Program Utama Sempena Sambutan Hari Gawai Di Sarawak "