• Tiada Pengiraan Undi Awal Di Bagan Datuk Sabtu Lepas

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 7 May 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya telah berlaku pengiraan undi awal di Parlimen P.075 Bagan Datuk, Perak selepas waktu pengundian awal Sabtu lepas.

    Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata semua proses pengiraan undi awal hanya akan dilakukan bermula 4 petang pada hari mengundi Rabu ini di pusat pengiraan undi awal yang ditetapkan SPR.

    “Sebelum proses pengiraan awal dibuat, semua pihak berkepentingan terutama calon yang bertanding akan dimaklumkan secara rasmi oleh SPR untuk hadir dan menyaksikan proses pengiraan undi awal tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

    Berdasarkan siasatan SPR, Mohd Hashim berkata semua petugas pilihan raya yang berkenaan telah mematuhi semua prosedur yang ditetapkan.

    Katanya sebaik sahaja waktu pengundian awal ditutup tepat 5 petang, petugas SPR telah mengemas dan memeterai semua peti undi awal di hadapan semua ejen calon yang bertanding dan telah membawa peti undi tersebut ke tempat simpanan yang selamat iaitu di Balai Polis Hutan Melintang.

    Bagaimanapun, Mohd Hashim berkata semasa proses penyimpanan peti undi awal tersebut, berlaku gangguan oleh satu kumpulan termasuk calon daripada sebuah parti bertanding terhadap urusan penyimpanan peti undi awal itu kononnya terdapat penyelewengan dilakukan petugas SPR.

    “SPR menyelar gangguan pihak terbabit terhadap petugas pilihan raya di parlimen berkenaan dan menganggap tuduhan tersebut cuba menimbulkan kegemparan dalam kalangan masyarakat dengan tujuan untuk menarik perhatian pengundi,” katanya.

    Mohd Hashim berkata untuk rekod, jumlah keseluruhan pengundi awal di Kem Hutan Melintang yang didaftarkan ialah seramai 1,541 orang.

    “Bagaimanapun, terdapat seramai 508 orang pengundi awal tersebut telah memohon untuk pengundian secara pos,” katanya.

    Menurut Mohd Hashim jumlah pengundi awal yang layak mengundi semasa hari pengundian awal itu ialah seramai 1,033 orang namun hanya 825 pengundi sahaja yang hadir manakala 208 lagi tidak hadir. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Tiada Pengiraan Undi Awal Di Bagan Datuk Sabtu Lepas "