• Tiada Kenaikan Harga Dikesan Di Sarawak

    Reporter: M. H. W.
    Published: Monday, 28 May 2018
    A- A+

    KUCHING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak tidak mengesan kenaikan harga barangan termasuk juadah di bazar Ramadan sehingga hari ini.

    Menurut Timbalan Pengarahnya, Md. Nawawi Ab. Rahman, pemeriksaan tersebut dijalankan setiap hari termasuk pada cuti umum oleh 200 pegawai penguat kuasa dan 179 pegawai pemantau harga di lapangan bagi memastikan tiada kenaikan harga.

    "Setiap hari 238 jenis barangan dipantau yang didapati hanya berlaku sedikit kenaikan iaitu tidak lebih 10 peratus pada barang fleksibel bergantung pada penawaran dan permintaan.

    "Sehingga 24 Mei lalu, 83 kategori barang basah naik sedikit sebaliknya 111 barang lain didapati turun," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Lawatan Pemeriksaan Bazar Ramadan 2018 di Kota Sentosa sebentar tadi.

    Yang turut hadir, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu (Gapema), Nawawi@Narawie Ibrahim dan Pembantu Kesihatan Awam Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Hisham Jos.

    Sebanyak 2,965 premis di bazar Ramadan diperiksa namun tiada sebarang aduan dan kes dilaporkan di negeri ini sejak 17 Mei lalu.

    Mengulas lanjut, Md. Nawawi yang juga Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Sarawak, memberitahu, pihaknya menjalankan penguatkuasaan seimbang dengan lebih tertumpu memberi amaran kepada peniaga yang melakukan kesalahan.

    "Bagaimanapun, peniaga yang melakukan kesalahan berulang akan diambil tindakan tegas.

    "Sepanjang Januari hingga 25 Mei lalu, sebanyak 183 kes dengan nilai rampasan RM324,016.70 dan kompaun berjumlah RM20,000 yang kebanyakan melibatkan Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Timbang dan Sukat 1972," jelasnya.

    Sementara itu, beliau memberitahu, pemantauan harga akan dipertingkatkan lagi pada musim perayaan Gawai yang disambut 1 Jun nanti malah kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mula dikenakan sifar peratus.

    Katanya, bilik gerakan KPDNKK Sarawak akan dibuka sehingga 10 malam disamping pertemuan dengan pemborong, pengilang dan peruncit untuk lihat dan membantu supaya kembalikan harga sewajarnya. - UTUSAN ONLINE
  • No Comment to " Tiada Kenaikan Harga Dikesan Di Sarawak "