• Tebingan Bernilai RM25 Juta Bakal Ubah Landskap Kampung Muara Tebas

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Saturday, 5 May 2018
    A- A+


    KUCHING: Kampung Muara Tebas bakal berubah wajah selepas tebingan kampung tersebut diluluskan untuk pembinaan.

    Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tebingan bernilai RM25 juta itu akan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID).

    Malah menurutnya, pada masa ini perkembangan projek tersebut berada pada peringkat rekaan.

    "Kita akan membina tebingan yang bernilai RM25 juta.

    "Sekarang projek ini masih berada di peringkat rekaan," katanya ketika merasmikan Program Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik Isi Rumah Sempena Hari Bumi 2018 di Kampung Muara Tebas hari ini.

    Wan Junaidi menjelaskan, selepas tebingan itu siap nanti, Kampung Muara Tebas bakal menjadi tumpuan pelancong bukan sahaja untuk beriadah tetapi menikmati kesegeran makanan laut.

    "Kita mahu ubah wajah Muara Tebas, orang Kuching akan datang makan di sini," ujarnya.

    Mengulas mengenai program tersebut, beliau berkata, ia merupakan program penting untuk membantu menjaga alam sekitar.

    "Telefon bimbit lama yang dibuang termasuk di dalam sungai boleh menyebabkan penyemaran.

    "Dengan adanya program seperti ini, masyarakat mempunyai tempat sesuai untuk membuang sisa barangan elektrik dan elektronik lama," jelasnya.

    Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni dan Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Demak Laut Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie.-Sarawakiana
  • No Comment to " Tebingan Bernilai RM25 Juta Bakal Ubah Landskap Kampung Muara Tebas "