• Taman Islamik Bernilai RM8.6 Juta Tarikan Baharu Darul Hana

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Sunday, 6 May 2018
    A- A+


    KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebentar tadi mengumumkan pembinaan Taman Islamik bernilai RM8.6 juta berhampiran Masjid Darul Hana.

    Beliau berkata, pembinaan taman tersebut adalah sebagai tarikan terbaru memandangkan Masjid Darul Hana yang unik menjadi tumpuan pengunjung bukan sahaja untuk menunaikan solat tetapi untuk majlis perkahwinan.

    Malah menurutnya, dengan adanya taman itu nanti, pasangan yang berkahwin di Masjid Darul Hana tidak perlu pergi jauh untuk sesi fotografi selain memperindahkan lagi kawasan tersebut.

    "Untuk penduduk Seberang Hilir, saya luluskan pembinaan Taman Islamik bernilai RM8.6 juta," katanya ketika berucap semasa meninjau Projek Pembangunan Darul Hana Blok 1A/2A (Fasa 1) di sini, hari ini.

    Selain Taman Islamik, Abang Johari berkata, penduduk yang bakal mendiami kawasan Darul Hana tidak perlu membuat sebarang bayaran kerana harga rumah mengikut nilai tanah mereka.

    "Penduduk hanya perlu membawa beg dan tidak perlu membawa apa-apa kerana rumah yang diperuntukkan adalah mengikut nilai tanah.

    "Ini bermakna pemilik rumah tidak akan berhutang," ujarnya.

    Sementara itu, Menteri Muda Utiliti Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pembangunan Darul Hana merupakan satu anugerah untuk memastikan penduduk Seberang Hilir mendapat pembelaan.

    "Ini kerana penduduk Seberang Hilir sebelum ini menghadapi masalah untuk membina rumah kerana kekuranhan tanah.

    "Ia (Darul Hana) merupakan langkah terbaik untuk mengatasi masalah kesesakan rumah dan tempat riadah bagi penduduk Seberang Hilir.

    "Kita menyokong pembangunan Darul Hana untuk masa depan generasi akan datang," jelasnya.

    Hadir sama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.-Sarawakiana
  • No Comment to " Taman Islamik Bernilai RM8.6 Juta Tarikan Baharu Darul Hana "