• Sokong BN Demi Kesinambungan Semporna

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 3 May 2018
    A- A+

    SEMPORNA – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak meminta masyarakat Semporna agar terus memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) demi kesinambungan pembangunan dan kemakmuran penduduk daerah itu.

    Beliau berkata agenda perjuangan BN untuk membangunkan dan memakmurkan Semporna jauh lebih penting berbanding agenda politik peribadi kerana kesan positifnya akan dapat dirasai semua lapisan rakyat.

    “Semporna, sejak merdeka terkenal dengan pendirian pro kerajaan. Kita harus meneruskan pendirian Semporna bersama kerajaan,” katanya ketika melawat Pusat Daerah Mengundi Kabogan di sini hari ini.

    Turut hadir calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang Datuk Seri Nasir Tun Sakaran dan calon kerusi Parlimen Semporna Datuk Ramlee Marahaban.

    Menurut Salleh proses pembangunan yang sedang berjalan lancar di Semporna pada masa ini adalah atas sumbangan dan jasa kerajaan BN, justeru sokongan kepada parti yang banyak berjasa itu perlu diteruskan.

    Katanya rakyat Semporna perlu sentiasa memandang ke hadapan dengan bersama BN kerana parti gabungan itu sejak awal perjuangannya mempunyai dasar jelas untuk memelihara perpaduan, keharmonian antara kaum dan keselamatan negara.

    “Sejak merdeka, BN sudah bersaing dalam pilihan raya umum sebanyak 13 kali dan majoriti rakyat bersama kita. Sebab itu, kita dipilih sebagai pemerintah.

    “Kita (BN) ialah sebuah parti yang mempunyai dasar untuk membangunkan negara dan negeri kita termasuk pembangunan infrastruktur, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan ekonomi untuk rakyat termasuk di Semporna,” katanya.

    Berbanding parti Parti Warisan Sabah (Warisan), Salleh berkata Warisan wujud atas dasar kebencian dan kepentingan politik peribadi dan bukannya untuk membangunkan Sabah.

    Salleh juga meminta rakyat Semporna agar meneruskan kegemilangan daerah itu dalam melahirkan pemimpin negeri termasuk Ketua Menteri, Yang Dipertua Negeri dan pemimpin pusat kerana mereka sentiasa menyokong perjuangan BN.

    Katanya perjuangan BN bukan sahaja demi generasi hari ini tetapi turut merangka dasar masa depan generasi akan datang melalui dasar Transformasi Nasional 2050. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Sokong BN Demi Kesinambungan Semporna "