• Sibu Terima Limpahan Peruntukan Pembangunan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Thursday, 3 May 2018
    A- A+
    Foto Mohd Roji Kawi

    SIBU: Peruntukkan berjumlah RM132 juta diumumkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, dalam lawatan dua hari beliau ke bandar ini, sejak semalam.

    Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM123 juta disediakan untuk membina dua jalan raya iaitu RM63 juta bagi membina projek fasa pertama Jalan Rantau Panjang/Rassau di Batang Igan.

    Tambah beliau, sejumlah RM60 juta lagi diperuntukkan bagi membina jalan pintas sepanjang enam kilometer dari Sibujaya ke Lanang.

    "Pembinaan jalan ini terutamanya yang menghubungkan Sibujaya dengan Lanang akan memendekkan jarak perjalanan dari bandar baharu Sibujaya ke Sibu.

    "Kawasan Sibujaya ini memang memerlukan jalan raya pintas ke Sibu kerana ini kawasan yang begitu cepat membangun dengan jumlah penduduk yang semakin padat sekarang," katanya ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sibujaya di sini, hari ini.

    Hadir sama, Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom; Menteri Muda Pendidikan, Penyelidikan Teknologi, Perumahan dan Kesihatan Awam, Dr Annuar Rapaee dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lanang, Kelvin Kong Sien Chiu.

    Abang Johari yang juga Pengerusi BN Sarawak, berkata sebuah balai bomba dan penyelamat bersama sebuah sekolah baharu akan dibina di Sibujaya bagi menampung jumlah penduduk yang semakin meningkat.

    Selain peruntukkan membina jalan itu, beliau turut mengumumkan peruntukkan RM3 juta untuk membina sistem kumbahan di Taman Rejang dan RM3 juta untuk menaik taraf Pasar Sentral Sibu.

    Peruntukkan masing-masing RM1 juta lagi disalurkan untuk membina blok baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kiew Nang, Hab Inovasi Dewan Perdagangan Cina Sibu dan geran membaiki premis Persatuan Sibu. - BH Online

  • No Comment to " Sibu Terima Limpahan Peruntukan Pembangunan "