• Sarawak Perkenal Dasar Baharu Penempatan Semula

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Tuesday, 8 May 2018
    A- A+


    MIRI: Kerajaan Negeri Sarawak memperkenalkan dasar baharu penempatan semula bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang terpaksa berpindah ke kawasan baharu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

    Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg berkata, berkuat kuasa serta-merta, kerajaan negeri akan membina infrastruktur di skim penempatan semula sebelum mereka yang terlibat dengan program penempatan semula berpindah ke kawasan berkenaan.

    "Setelah infrastruktur siap dibina, mereka yang terjejas hanya perlu membina rumah di situ, kami kendalikan infrastrukturnya," kata beliau kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara pecah tanah bagi blok pentadbiran Sekolah Menengah Pei Min di sini pada Isnin.

    Abang Johari berkata antara kemudahan yang akan disediakan kerajaan di kawasan penempatan baharu ialah jalan bertar, sistem perparitan, bekalan elektrik dan tambakan tanah.

    Pejabat Ketua Menteri Sarawak semalam turut mengumumkan potongan premium tanah sebanyak 50 peratus bagi pengeluaran surat hak milik tanah untuk lot-lot kediaman di bawah Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung di seluruh negeri.

    Menyentuh tentang peluang Barisan Nasional (BN) Sarawak memenangi lebih banyak kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Abang Johari berkata sepanjang tempoh berkempen setakat ini, calon parti komponen BN mendapat respons positif daripada pengundi.

    Sebelum ini, Abang Johari dipetik sebagai berkata BN Sarawak yakin dapat mengekalkan 25 kerusi parlimen yang dimenanginya pada PRU ke-13, di samping menawan kembali tiga kerusi parlimen daripada pembangkang pada PRU ke-14.

    Terdahulu, dalam ucapannya, Abang Johari mengumumkan peruntukan RM1.5 juta kepada Sekolah Menengah Pei Min dan untuk bayaran premium tanah.

    Beliau berjanji sekolah itu akan diberi peruntukan tambahan RM2 juta sekiranya calon BN bagi kerusi Parlimen Miri Datuk Sebastian Ting Chiew Yew mencapai kemenangan.

    Setiausaha Agung SUPP itu berdepan dengan calon PKR Dr Michael Teo Yu Keng, yang mempertahankan kerusi berkenaan. - Bernama
  • No Comment to " Sarawak Perkenal Dasar Baharu Penempatan Semula "