• Ratusan Kontrak Penjawat Awam Di Seluruh Negara Ditamatkan Serta-Merta? Ini Yang Kita Tahu Setakat Ini

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Tuesday, 15 May 2018
    A- A+

    Sejak semalam kecoh di laman sosial dakwaan seramai hampir 500 penjawat awam berstatus kontrak di beberapa jabatan kerajaan di seluruh negara telah ditamatkan perkhidmatan serta-merta, lima hari selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan Persekutuan.

    Pada Oktober 2017, media melaporkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai berkata, PH akan menyusun semula perkhidmatan awam sekiranya mereka berjaya mengambil alih Putrajaya, selain mengurangkan jumlah penjawat awam, sama ada melalui lantikan politik atau dalam perkhidmatan, bagi menteri dan timbalan menteri.

    Mesej yang tular mendakwa kebanyakkan penjawat awam di Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah ditamatkan kontrak mereka semalam, dan diarahkan keluar dari kuarters penjawat awam di Putrajaya.

    Malaysian Digest menghubungi jabatan itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut, namun jurucakapnya memaklumkan bahawa isu itu akan dijawab oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), hari ini.

    Tahniah penjawat awam yang undi PH , anda telah bantu kurangkan pembaziran Wang rakyat dengan lambakan penjawat awam kontrak di zaman Najib #MalaysiaBaru pic.twitter.com/9zEwqHa9EU

    — Akimzone (@AkimZone) May 14, 2018
    Selain di Putrajaya, penjawat awam di unit sama di Pejabat Pembangunan Persekutuan di Pulau Pinang juga berdepan nasib sama selepas seorang pengguna Facebook bernama Mohd Amiruddin Che Rahim mendakwa beliau dan rakan-rakannya di jabatan itu telah ditamatkan kontrak, pada Isnin.

    Beliau ketika dihubungi Malaysian Digest hari ini mengesahkan mengenai perkara itu, memaklumkan bahawa notis penamatan perkhidmatannya dihantar melalui email.

    Namun, Mohd Amiruddin yang mengakui sudah tidak bekerja hari ini enggan mengulas lanjut mengenai tindakan yang bakal diambilnya, dan hanya memberitahu bahawa beliau telah dipanggil untuk berjumpa dengan Ketua Pengarah, dipercayai bagi membincangkan mengenai isu tersebut.

    Selain mereka, bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) Datuk Lokman Adam turut mengesahkan kontrak perkhidmatanya di kementerian itu telah ditamatkan semalam.

    Beliau dalam respons ringkas kepada Malaysian Digest mengakui bahawa perkara tersebut adalah benar.

    Sementara dalam kenyataan di laman Instagram, Lokman yang juga anggota Biro Penerangan UMNO meluahkan rasa terkilan dan seolah menyalahkan kerajaan PH, yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan kontrak perkhidmatannya ditamatkan serta-merta.

    “Hari ini saya secara rasmi ditamatkan Perkhidmatan Sebagai Pengarah Komunikasi MOF oleh Regim Mahathir DAP.

    “Saya ucap jutaan terima kasih kepada semua kakitangan MOF yang melayan saya dengan baik. Moga Allah selamatkan penjawat awam yang lain,” tulisnya, sambil memuat naik gambarnya bersama notis penamatan perkhidmatan.


    Difahamkan, mereka yang ditamatkan perkhidmatan kebanyakkannya adalah lantikan politik dan bukannya penjawat awam berstatus tetap.

    Memetik Malaysiakini, pemimpin BERSATU, Datuk Dr Rais Hussin berkata mereka yang ditamatkan perkhidmatan tanpa notis boleh membuat rayuan ke Pejabat Perdana Menteri.

    “Apa yang perlu mereka lakukan adalah menyuarakan rayuan mereka secara berfakta kepada Pejabat PM dan saya yakin bahawa ia akan dilihat secara positif.

    “Ingatlah, (Dr) Mahathir seorang yang berpegang teguh pada kata-katanya, beliau mengatakan apa yang akan dilakukannya dan melakukan apa yang dikatakannya. Harapan mesti bersyukur kepada mereka yang membantu memelihara negara dan melakukan perkara yang betul,” kata Rais, yang merupakan Ketua Dasar dan Strategi BERSATU.

    Di laman Twitter, Rais mengatakan tuduhan bahawa kontrak penjawat awam ditamatkan di bawah kerajaan baharu adalah tidak benar, sebaliknya beliau menjelaskan kontrak mereka sudah ditamatkan sejak pentadbiran sebelum ini.

    “Kerajaan semasa baharu sahaja dua hari bekerja. Malah, pelantikan Kabinet masih belum lengkap. Jadi tolong tiada berita palsu,” tulisnya, malam tadi.

    Terdahulu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata PH akan memecat semua pegawai tinggi kerajaan jika menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    “Kalau kami berjaya menubuhkan kerajaan dengan mandat (yang diberikan) tuan-tuan dan puan-puan, saya boleh memasukkan janji dalam 30 hari, kami akan pecat semua pegawai tinggi kerajaan,” katanya memetik media.

    Semalam Dr Mahathir, yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-7 telah mengadakan mesyuarat bersama KSN Tan Sri Dr Ali Hamsa dan semua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian bagi membincangkan beberapa manifesto kerajaan baharu yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.

    Hasil perbincangan tersebut antaranya menyaksikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah telah dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuatkuasa serta-merta, dan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali diarahkan bercuti.

    Bagaimanapun, media melaporkan Dr Mahathir mengesahkan penjawat awam tidak akan dikurangkan walaupun berlaku penstrukturan semula kementerian seiring dengan pertukaran kerajaan.

    Menurut Dr Mahathir, mereka akan dipindahkan mengikut kesesuaian agensi termasuk ke sektor swasta.

    “Kita tidak akan gugurkan mereka (penjawat awam) selepas mereka bekerja sekian lama dengan kerajaan, kita akan cari kaedah untuk tempatkan mereka ini di jabatan lain dan juga agensi lain.

    “Penjawat awam yang terbabit dengan penstrukturan semula akan dipindahkan ke jabatan dan agensi tertentu mengikut kesesuaian bagi mengelak mereka hilang pekerjaan,” katanya. - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Ratusan Kontrak Penjawat Awam Di Seluruh Negara Ditamatkan Serta-Merta? Ini Yang Kita Tahu Setakat Ini "