• Pusat Latihan Rela Sarawak Di Lundu Mampu Lonjak Ekonomi Penduduk Tempatan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Saturday, 5 May 2018
    A- A+


    LUNDU: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi percaya Lundu bakal menjadi tumpuan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) seluruh negara selepas terbinanya Pusat Latihan Rela Sarawak kelak.

    Beliau berkata, pusat tersebut yang menelan belanja RM165 juta termasuk Pejabat Rela Daerah Lundu sudah pasti akan menjadi tumpuan ramai sekaligus membantu melonjakkan ekonomi penduduk tempatan.

    "Apabila siap nanti, pusat ini dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk tempatan kerana semua anggota Rela akan berkumpul di sini (Lundu).

    "Secara tidak lansung Lundu akan bertambah maju dan lebih banyak pembangunan dilaksanakan kerajaan," katanya berucap pada Program Khidmat Bakti Rela Daerah Lundu di sini, hari ini.

    Menurutnya, rancangan membina pusat tersebut sebenarnya bermula ketika beliau menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri.

    "Saya dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri) merancang membuat pusat ini di seluruh negara dan memohon sebuah pusat dibina di Parlimen Santubong.

    "Pada mulanya pusat ini dirancang untuk dibina di Petra Jaya namun bekas Ketua Menteri (Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem) mahu ia dibina di Lundu," ujarnya.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Jamilah Anu menjelaskan, pusat tersebut dijangka dibina selewat-lewatnya tahun 2019.

    Jamilah menambah, beliau sudah terlibat dengan Rela sejak tahun 1976 ketika berkhidmat dengan agensi tersebut.

    "Anggota Rela mempunyai peranan besar dan sama berjuang dengan tentera dan polis," jelasnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " Pusat Latihan Rela Sarawak Di Lundu Mampu Lonjak Ekonomi Penduduk Tempatan "