• PRU14: 111,702 Anggota PDRM Undi Awal Esok

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 4 May 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Seramai 111,702 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengundi awal pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) esok di seluruh negara.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata daripada jumlah itu, seramai 5,660 pegawai dan anggota akan mengundi awal di Bukit Aman manakala selebihnya di 14 kontinjen PDRM dan Ibu Pejabat Polis di seluruh negara.

    “Selain itu, turut terlibat dalam undi awal adalah 7,695 pegawai dan anggota PDRM yang telah bersara.

    “Mereka ini adalah pegawai dan anggota yang belum lagi menukar daftar pemilih sebagai pengundi biasa,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

    Beliau berkata pegawai dan anggota terlibat akan mula mengundi mulai 9 pagi hingga 5 petang.

    Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata seramai 5,854 pegawai dan anggota PDRM terlibat dalam proses mengundi secara pos PRU14, termasuk 20 anggotanya yang terlibat dalam misi pengaman di Sudan mulai hari ini.

    “Undi pos sudah bermula hari ini iaitu melibatkan 1,796 pegawai dan anggota di Bukit Aman manakala selebihnya di kontinjen seluruh negara.

    Sementara itu katanya sejak 28 April hingga 3 Mei lalu sebanyak 860 laporan polis diterima PDRM melibatkan PRU14, kebanyakannya melibatkan kes khianat.

    “Setakat ini kita menahan 17 suspek iaitu 15 daripadanya untuk diambil keterangan manakala dua lagi masih ditahan masing-masing melibatkan satu kes di Johor dan Sabah,” katanya.

    Ketika ditanya adakah polis akan memanggil Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan kes sabotaj pesawat yang sepatutnya membawa beliau ke Langkawi pada 27 April lepas, Mohamad Fuzi berkata setakat ini pihaknya belum belum berbuat demikian, namun akan memanggil bekas perdana menteri itu jika ada keperluan.

    Dr Mahathir yang ketika itu hendak menaiki pesawat menuju ke Langkawi bagi proses penamaan calon PRU14 mendakwa pesawat terbabit mungkin disabotaj.

    Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAMM), bagaimanapun menolak dakwaan itu. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " PRU14: 111,702 Anggota PDRM Undi Awal Esok "