• Promosi Produk Pelancongan Telaga Air Guna Ekonomi Digital

    Reporter: Admin
    Published: Friday, 4 May 2018
    A- A+


    KUCHING: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa penduduk Kampung Telaga Air mempromosi produk pelancongan yang terdapat di kampung tersebut dengan mengadaptasi ekonomi digital.

    Beliau berkata, Telaga Air mempunyai ciri-ciri menarik yang boleh menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

    Sehubungan itu menurutnya, kerajaan mempunyai pelbagai lagi rancangan membangunkan Telaga Air selaras dengan keperluan penduduk setempat.

    "Telaga Air mempunyai tarikan pelancongan bukan sahaja esplanade dan homestay tetapi makanan laut yang segar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Esplanade Telaga Air hari ini.

    Wan Junaidi menjelaskan, kerajaan mempunyai banyak dana untuk membangunkan pelbagai industri termasuk ekonomi.

    "Kalau ada produk baik, kita boleh mempromosikan menerusi akses digital.

    "Masyarakat kampung terutama di Parlimen Santubong perlu menyahut seruan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memperkenalkan ekonomi digital," ujarnya.

    Menurut Wan Junaidi lagi, berdasarkan kepada perkembangan semasa kempen BN di Parlimen Santubong, beliau percaya keputusan cemerlang mampu dicapai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

    "Cabaran kita di Parlimen Santubong bukannya pembangkang tetapi untuk mengekalkan prestasi cemerlang.

    "Ini cabaran besar namun jentera parti nampaknya amat bersemangat dan berjiwa besar untuk menang," jelasnya.

    Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.-Sarawakiana
  • No Comment to " Promosi Produk Pelancongan Telaga Air Guna Ekonomi Digital "