• Program PERMATA Diteruskan - Dr Wan Azizah

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 22 May 2018
    A- A+

    Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, program Permata Negara (PERMATA) akan diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    Namun, beliau berkata, program diilhamkan oleh Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu perlu diaudit dan disemak semula.

    Katanya, antara yang akan disemak dan diaudit termasuk peruntukan, keberkesanan kos dan hasil program berkenaan.

    “PERMATA adalah salah satu program saya bawa kepada perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pagi tadi dan kita setuju akan audit kerana ia program baik dan dekat dengan kesejahteraan kanak-kanak.

    “Program untuk kanak-kanak ini dapat meningkatkan kemahiran mereka dan mengetengahkan perkara yang baik sesuai dengan matlamatnya yang suci dan murni.

    “Kalau apa yang baik, kita teruskan. Kita sedang teliti sama ada program itu dikekalkan di bawah Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga,” katanya pada sidang media pertama beliau sebaik memulakan tugas di Pejabatnya di Perdana Putra di Putrajaya, hari ini.

    Terdahulu, Dr Wan Azizah mengetik kad perakam waktu pada 10 pagi sebaik melangkah masuk pejabatnya.

    Beliau disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

    Turut menyambut beliau, Ketua Setiausaha Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Suriani Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

    Dr Wan Azizah berkata, Dr Mahathir bersetuju dengan pandangan bahawa PERMATA lebih relevan untuk berada di bawah Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga kerana ia membabitkan usaha meningkatkan perkembangan kanak-kanak.

    “Bagi saya masa, Khamis ini saya akan masuk ke pejabat di Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga... selepas itu kita akan putuskan,” katanya.

    Beliau berkata, antara perkara dibincangkan bersama Dr Mahathir adalah mengenai isu kebajikan masyarakat.

    Katanya, Perdana Menteri maklum perkara itu dan menyatakan fungsi, tanggungjawab serta peranan kementerian itu tidak berubah.

    Sementara itu, beliau berkata, satu pasukan petugas ditubuhkan bagi pelaksanaan janji 100 hari yang terkandung dalam Buku Harapan, Manifesto PH.

    Menurutnya, pasukan petugas itu akan memberikan tumpuan khusus inisiatif keusahawanan sosial, pembangunan kepemimpinan wanita dan inisiatif PH termasuk janji keempat dalam 100 hari iaitu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk surirumah.

    “Dr Mahathir Mohamad sudah bersetuju penubuhan pasukan petugas khas itu pada pertemuan di Yayasan Kepemimpinan Perdana, pagi tadi,” katanya.

    Caruman KWSP untuk surirumah terkandung dalam janji 10 yang perlu ditunaikan dalam tempoh 100 hari.

    Dr Wan Azizah mengulangi pendiriannya bahawa janji 10 untuk 100 hari akan ditunaikan

    “Kita sudah janji, jadi kita akan tunaikan,” katanya.

    Beliau berkata, turut diberikan tumpuan adalah usaha membantu menangani masalah pembesaran yang terbantut dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Program PERMATA Diteruskan - Dr Wan Azizah "