• Polis berkas dua lelaki, rampas dadah bernilai RM43,180

    Reporter: Admin
    Published: Saturday, 12 May 2018
    A- A+

    KUCHING, 12 Mei (Bernama) - Polis Sarawak memberkas dua lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM43,180 dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Abell, di sini semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Supt Sahar Abdul Latif berkata bertindak atas maklumat dan risikan, satu pasukan khas menyerbu hotel tersebut pada 11 pagi.

    Dalam serbuan itu polis menahan dua suspek pengedar dadah dan pemeriksaan di dalam bilik hotel menemukan pelbagai jenis dadah antaranya syabu seberat 235 gram bernilai RM35,000 serta ketamin bernilai RM8,000 dan ekstasi, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

    Beliau berkata polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios dan wang tunai berjumlah RM2,642 daripada suspek.

    Menurutnya kedua-dua lelaki tersebut dipercayai aktif dalam pengedaran dadah sejak awal tahun ini.

    "Ujian saringan awal air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis metamfetamina ," katanya menambah kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Polis berkas dua lelaki, rampas dadah bernilai RM43,180 "