• PKR, DAP Sabah serah senarai nama untuk Kabinet negeri

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 15 May 2018
    A- A+

    KOTA KINABALU: PKR dan DAP Sabah sudah mengemukakan beberapa nama untuk dicadangkan dalam senarai barisan Kabinet negeri kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

    Pengerusi PKR Sabah yang juga Ahli Parlimen Tawau, Christina Liew, berkata parti itu telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri dan mencadangkan beberapa nama untuk dilantik sebagai menteri serta pembantu menteri.

    "Bagaimanapun, kita tahu ia adalah hak Ketua Menteri untuk melantik barisan Kabinetnya.

    "Kerajaan negeri hari ini adalah kerajaan (campuran) Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama PKR, DAP serta Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO)," katanya ketika dihubung di sini hari ini.

    PKR Sabah memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang mana Christina mempertahankan DUN Api-Api, manakala Ketua Bahagian PKR Penampang, Kenny Chua menang di DUN Inanam.

    Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong, berkata setakat ini belum ada perbincangan secara rasmi dengan Ketua Menteri berhubung perkara itu.

    "Setakat ini, hanya ada 'perbualan tidak rasmi saja' dengan Ketua Menteri. Pada masa ini, tiada siapa tahu (barisan Kabinet), hanya Ketua Menteri saja yang tahu.

    "Kami sudah memaklumkan cadangan daripada DAP untuk disenaraikan dalam Kabinet negeri, kita tunggu sehingga ia dimuktamadkan," katanya.

    DAP Sabah menang enam kerusi DUN dengan hanya Jannie Lasimbang sahaja wakil rakyat wanita parti itu selepas memenangi DUN Kapayan.

    Ketika ditanya sama ada nama Jannie dalam senarai, Stephen bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

    Pada PRU-14 minggu lalu, WARISAN yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 29 kerusi DUN, sama dengan Barisan Nasional (BN), manakala dua lagi kerusi DUN dimenangi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang dipimpin Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

    Mohd Shafie yang juga Presiden WARISAN, dilantik Ketua Menteri selepas enam wakil rakyat BN dari UMNO dan UPKO, menyatakan sokongan kepada WARISAN-PH. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " PKR, DAP Sabah serah senarai nama untuk Kabinet negeri "