• Pintu Utama Pejabat SPRM Dikawal Rapi

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 14 May 2018
    A- A+

    Pintu utama keluar masuk bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dekat Presint 7, Putrajaya, dikawal rapi.

    Tinjauan NSTP pagi ini mendapati, setiap kenderaan yang hendak keluar dari bangunan terbabit perlu melalui pemeriksaan ketat oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

    Anggota RELA dilihat memeriksa dengan rapi kenderaan termasuk di bahagian but sebelum dibenarkan meninggalkan bangunan.

    Difahamkan, arahan untuk pemeriksaan itu dikeluarkan hari ini oleh pengurusan tertinggi, namun tidak dimaklumkan sehingga bila.

    Sumber memberitahu, pemeriksaan itu dibuat bagi mengelakkan sebarang dokumen rahsia dibawa keluar tanpa kebenaran sah.

    Sementara itu, khabar angin berhubung bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed akan melapor diri ke SPRM hari ini, tidak benar.

    Sumber SPRM memberitahu, beliau masih berada di luar negara dan dijangka pulang ke tanah air esok.

    Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan terus melapor diri sejurus pulang atau sebaliknya.

    Semalam, NSTP melaporkan Abu Kassim antara nama yang disebut untuk kembali menerajui suruhanjaya itu di bawah pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Pintu Utama Pejabat SPRM Dikawal Rapi "