• Perintah Berkurung Di Esszone Dilanjutkan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Sunday, 13 May 2018
    A- A+


    KOTA KINABALU – Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir pada 6 petang ini akan dilanjutkan hingga 27 Mei depan.

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata perintah berkurung itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

    Dengan pelanjutan itu, katanya mereka yang tinggal di kawasan terbabit diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan antara 6 petang hingga 6 pagi sepanjang tempoh berkenaan.

    “Orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang telah diisytiharkan antara 6 petang sehingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata perintah berkurung itu dilanjutkan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau-pulau peranginan.

    Ramli berkata perintah berkurung itu adalah untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta mereka yang berada di kawasan daratan Esszone.

    Beliau berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

    Katanya perintah berkurung itu juga bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

    “Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di Esszone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Perintah Berkurung Di Esszone Dilanjutkan "