• Penunggang Maut Dibaham Singa Gunung

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 21 May 2018
    A- A+

    WASHINGTON: Seorang penunggang basikal gunung maut, manakala rakannya cedera parah dibaham singa di kawasan hutan berdekatan North Bend di sini, kira-kira 48 kilometer dari timur Seattle, kelmarin.

    Menurut Jurucakap pejabat Sheriff Daerah King, Sarjan Ryan Abbot, kejadian berlaku pada jam 11 pagi waktu tempatan apabila kedua-dua mangsa bertembung dengan haiwan berkenaan ketika berbasikal.

    Menurut beliau, penunggang pertama yang terselamat, diserang terlebih dulu dan mengalami kesan luka agak dalam, manakala penunggang kedua diseret singa gunung itu ke habitatnya di dalam hutan berhampiran.

    “Mangsa yang cedera mengayuh basikal sejauh 3.2 kilometer untuk menghubungi talian kecemasan 911 meminta bantuan.

    “Polis memandu sepanjang laluan itu sebelum menemui basikal milik mangsa dan masuk ke dalam hutan berkenaan.

    “Mereka melihat singa gunung itu berdiri di atas mayat mangsa,” katanya.

    Abbot memberitahu, polis terpaksa melepaskan tembakan menyebabkan haiwan terbabit lari.

    Mereka kemudian menggunakan khidmat anjing pengesan untuk menjejak singa gunung itu sebelum membunuhnya.

    Kes terakhir membabitkan singa gunung di Amerika Utara berlaku lebih 100 tahun lalu, membabitkan kanak-kanak yang mudah ditumpaskan. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Penunggang Maut Dibaham Singa Gunung "