• Pengundi Hantu Tidak Wujud, Hanya Propaganda

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 4 May 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Istilah pengundi hantu sebenarnya tidak wujud dan hanya satu propaganda untuk menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

    Beliau berkata istilah itu digunakan oleh pihak tertentu untuk memberi gambaran negatif terhadap SPR.

    Hakikatnya, terdapat segelintir pemilih berdaftar yang telah berpindah dan tidak lagi bermastautin di kawasan yang mana mereka telah mendaftar sebagai pemilih atau terdapat pemilih yang bertukar alamat bahagian pilihan raya, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    “Ada juga pemilih-pemilih berdaftar ini hanya pulang ke kawasan berkenaan dalam tempoh empat atau lima tahun, berkemungkinan penduduk-penduduk di kawasan berkenaan tidak lagi mengenali pemilih tersebut dan seterusnya membuat tanggapan dan dakwaan bahawa pemilih tersebut adalah pengundi hantu.

    “Sedangkan, pada hakikatnya, mereka ini adalah pemilih berdaftar yang sah dari segi undang-undang,” Mohd Hashim berkata demikian mengulas tohmahan sesetengah pihak berhubung pengundi hantu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Dalam laman sesawang suruhanjaya itu, SPR berkata pihaknya sentiasa menjalankan pelbagai usaha secara berterusan bagi memastikan Daftar Pemilih Induk bersih dan kemas kini terutamanya daripada senarai mereka yang telah meninggal dunia, yang seringkali dipolitikkan oleh pihak tertentu sebagai pengundi hantu.

    Beliau berkata SPR telah menghantar pasukan penyemak ke balai-balai polis di seluruh negara untuk mendapatkan salinan permit mengubur bagi mengesahkan seseorang itu telah meninggal dunia termasuk mengeluarkan pengumuman supaya waris pemilih yang telah meninggal dunia mengemukakan salinan sijil kematian waris.

    Katanya, bagi negeri Sarawak, SPR telah menghantar pasukan penyemaknya ke rumah-rumah panjang untuk mengenal pasti mana-mana anggota masyarakat rumah panjang yang telah meninggal dunia tetapi tidak dilaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara.

    Dalam pada itu, SPR berkata mana-mana rakyat yang melakukan penipuan dan penyamaran sebagai pengundi boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun atau didenda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pengundi Hantu Tidak Wujud, Hanya Propaganda "