• Penghormatan Kepada Perdana Menteri Keenam

    Reporter: Admin
    Published: Tuesday, 15 May 2018
    A- A+

    Tulisan asal oleh:
    The Star Online, 15Mei 2018

    Saya terpaksa menulis surat terbuka ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan merakamkan penghargaan saya untuk tempoh sembilan tahun beliau menjadi perdana menteri negara dan 40 tahun perkhidmatan kepada negara.

    Saya berusia 23 tahun dan seorang penyokong kuat Pakatan Harapan. Saya masih dalam keadaan gembira yang teramat selepas kemenangan Pakatan tetapi saya menganggap Najib sebagai PM Malaysia yang baik dan berkesan. Semasa beliau adalah ketua kerajaan, saya tidak pernah merasakan sedikit pun kebencian terhadapnya.

    Saya menyertai Parti Keadilan Rakyat beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 kerana saya berminat dalam agenda pembaharuan parti itu dan percaya bahawa ia adalah parti masa depan dan mempunyai ramai ahli politik muda yang berbakat, bertenaga dan berpengaruh. Tetapi menjadi sebahagian daripada pembangkang tidak bermaksud menjadi tidak munasabah dan tidak adil terhadap sesiapa yang mentadbir kerajaan.

    Saya pernah (dan masih) merupakan penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokong gerakan "Reformasi" tetapi saya tidak pernah tidak menyukai Najib terutamanya kerana saya menganggapnya seorang ‘gentleman’ dan individu yang ikhlas. Tidak syak lagi bahawa kerjaya politiknya tidak pernah berlandaskan kepentingan peribadi tetapi rasa tanggungjawab untuk menjadikan negara ini lebih baik, seperti yang diharapkan oleh ayahnya. Najib komited untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi sejak hari pertama pentadbirannya. Ini dapat dilihat bagaimana beliau dapat memimpin negara semasa kemelesetan ekonomi global 2008-09. Untuk menyelamatkan negara daripada jatuh ke dalam kemelesetan, beliau memperkenalkan pakej rangsangan berjumlah berbilion ringgit, meningkatkan perbelanjaan dalam ekonomi dan meningkatkan pekerjaan.

    Semasa pentadbirannya, Malaysia beralih dari dasar ekonomi yang tidak mampan kepada yang boleh dilaksanakan dan pragmatik. Pada masa pentadbiran beliaulah subsidi telah dikurangkan dan sistem cukai baru dilaksanakan.

    Secara umum, subsidi adalah baik tetapi bergantung kepada subsidi untuk tempoh masa yang lama akan memberi beban kepada kewangan negara dan tabung kerajaan. Walaupun menghapuskan subsidi mengakibatkan kenaikan harga barangan, ia sememangnya membantu menurunkan tahap defisit dan hutang. Pemotongan subsidi juga memberi ruang kepada kerajaan untuk membelanjakan lebih banyak dalam pembangunan fizikal dan infrastruktur awam. Sekiranya rakyat Malaysia meneliti konsep Kecekapan Pareto, mereka akan faham mengapa Najib perlu membuat perancangan fiskal yang tidak popular ini.

    Sebahagian daripada sebab mengapa saya boleh mengatakan Najib adalah PM yang baik ialah beliau berjaya mempelbagaikan ekonomi kita. Pada tahun 2009, kebergantungan negara kita terhadap sektor minyak dan gas berada pada 41%. Tujuh tahun kemudian, ia telah dikurangkan kepada 16%. Itu sangat mengagumkan.

    Menariknya, salah satu pencapaian terbesar Najib sebagai PM adalah untuk membuat pengangkutan awam, terutama pengangkutan kereta api, yang meluas dan mudah diakses. Dalam masa enam tahun sahaja, beliau mengubah sistem pengangkutan awam dengan menyiapkan laluan MRT SBK dan sambungan LRT Gombak-Kelana Jaya dan Laluan Ampang serta pembinaan LRT3 dan MRT SSP. Projek sambungan LRT menyelamatkan saya daripada tersekat dalam kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Damansara-Puchong untuk sampai ke stesen LRT. Sebelum itu ia memakan masa kira-kira 30 minit. Kini, saya hanya mengambil masa lima minit untuk sampai ke stesen Lembah Subang (dan Ara Damansara) yang baru.

    Akhir sekali, saya mesti memuji pentadbirannya kerana melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan, yang amat diperlukan ketika negara kita mengalami kejatuhan harga minyak dunia. Kerugian pendapatan ini diimbangi oleh kutipan dari GST yang berjumlah lebih kurang RM40 bilion. GST juga penting untuk mengekalkan defisit fiskal kita pada tahap yang dikehendaki supaya penarafan kredit negara dapat dikekalkan.

    Tanpa hasil dari GST, defisit fiskal akan melonjak naik, dan dengan itu menurunkan penarafan kredit Malaysia yang seterusnya akan menjadikan negara kita lebih sukar untuk meminjam untuk mengembangkan ekonomi dan membelanjakan pada projek-projek infrastruktur. Mempunyai penarafan kredit yang menurun akan menyebabkan pelabur lari dari negara kita.

    Saya berterima kasih kerana Najib telah memegang jawatan PM selama sembilan tahun yang lalu. Saya menganggapnya sebagai perdana menteri yang berkesan walaupun beliau tidak popular. Tetapi beliau seorang yang pragmatik, berani dan tegas dalam memimpin negara ini mengharungi masa ketidakpastian dan ketidakstabilan politik.

    Saya mengharapkan yang terbaik untuknya pada masa akan datang dan semoga Tuhan memberinya kesihatan yang baik.

    ADDIN AIMAN

    Petaling Jaya

    Link asal artikel:
    https://www.thestar.com.my/opinion/letters/2018/05/15/tribute-to-the-sixth-prime-minister/

    Subjects:

  • No Comment to " Penghormatan Kepada Perdana Menteri Keenam "