• Pengasas Bersama WhatsApp Letak Jawatan

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 2 May 2018
    A- A+

    NEW YORK: Ketua Eksekutif dan Pengasas Bersama WhatsApp yang dimiliki Facebook, Jan Koum, meletak jawatan selepas berlaku percanggahan pendapat dalam syarikat itu berhubung isu privasi dan enkripsi.

    Enkripsi merupakan proses untuk mengaburkan maklumat supaya tidak dapat dibaca tanpa pengetahuan khusus.

    Koum juga melepaskan jawatannya dalam Lembaga Pengarah Facebook, jawatan yang dituntutnya semasa Facebook mengambil alih WhatsApp dengan nilai AS$19 bilion (RM74.5 bilion) pada 2014, kata akhbar Washington Post.

    Menerusi Facebook miliknya, Koum menulis bahawa hampir sedekad beliau dan Brian Acton memulakan WhatsApp dengan melalui pelbagai pengalaman menarik bersama-sama kumpulan yang terbaik.

    “Sudah tiba masanya saya meneruskan hidup dan memberikan diri saya masa untuk menikmati kehidupan di luar dunia teknologi seperti mengumpul kereta air-cooled Porsche, membaik pulih kereta dan bermain ultimate frisbee tetapi saya masih menyokong WhatsApp, cuma dari luar sahaja,’’ kata Koum dalam akaun Facebooknya

    Portal The Guardian melapor­kan, Koum dan Acton memba­ngunkan WhatsApp dengan memberi tumpuan terhadap privasi pengguna dan menolak kewujudan iklan dalam media sosial itu.

    Malah ketika Facebook membeli aplikasi itu, mereka berjanji kepada pengguna bahawa tiada tolak ansur dalam mengekalkan nilai itu.

    “Anda boleh dapat kepastian bahawa tiada iklan yang akan menganggu komunikasi anda. Tidak akan ada perkongsian antara kami (Facebook dan WhatsApp) jika kami perlu bertolak ansur tentang prinsip ini yang melambangkan visi dan produk syarikat kami,’’ kata mereka ketika itu.

    Bagaimanapun Facebook berdepan tekanan untuk mengaut keuntungan daripada perkhidmatan mesejnya yang kini mempunyai 1.5 bilion pengguna sebulan, telah mengambil langkah yang tidak lagi berpegang pada nilai yang dijanjikan WhatsApp.

    Pada 2016, WhatsApp mengumumkan untuk berkongsi beberapa data pengguna termasuk nombor telefon dengan Facebook.

    Lngkah itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengamal undang-undang di Eropah yang kemudian mengarahkan Facebook supaya berhenti mengumpul data dari pengguna WhatsApp selain turut mendenda syarikat tersebut.

    Sejak itu WhatsApp mula membangunkan dan menguji peralatan percuma untuk membantu sektor per­­niagaan menggunakan perkhidmatannya bagi mendapatkan pelanggan yang akhirnya bakal dikenakan bayaran.

    Acton meninggalkan Facebook pada September lalu dan melakukan kejutan apabila mengisytiharkan untuk memutuskan hubungan dengan Facebook selain memuat naik status ‘Sudah tiba masa #deletefacebook’ dalam Twitter pada Mac lalu.

    Sementara itu ulasan pertama diterima pada mesej Koum di Facebook adalah kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook (CEO), Mark Zuckerberg.

    “Saya amat berterima kasih terhadap segala yang anda lakukan untuk membantu menghubungkan dunia dan semua yang diajarkan termasuk sistem enkripsi dan kendalian secara sistem berpusat akan dikembalikan kepada tangan pengguna. Nilai ini akan sentiasa diutamakan WhatsApp,’’ ujar Zuckerberg.- Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Pengasas Bersama WhatsApp Letak Jawatan "