• Pemerhati Antarabangsa Bukti Ketelusan Pilihan Raya Malaysia

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 8 May 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA – Kehadiran pemerhati antarabangsa bagi memantau proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung esok membuktikan ketelusan sistem pilihan raya di negara ini, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood.

    Beliau berkata seramai 25 orang pemerhati antarabangsa yang dijemput dari sembilan negara iaitu Azerbaijan, India, Indonesia, Kemboja, Kyrgyztan, Maldives, Pakistan, Thailand dan Uzbekistan, mempunyai pengalaman dalam proses pilihan raya di negara masing-masing.

    “Di samping membuktikan proses pilihan raya yang telus, kehadiran kesemua pemerhati antarabangsa ini memberi input kepada pihak SPR bagi menambah baik proses pilihan raya negara kita pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Undi Parlimen Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 9, di sini hari ini.

    Terdahulu, Othman bersama sebahagian daripada pemerhati antarabangsa terbabit meninjau pusat tersebut dan menyaksikan proses semakan peti undi.

    Menurutnya kesemua pemerhati tersebut akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan sebelum dibawa ke pusat pengundian di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan esok bagi memantau proses pengundian PRU14.

    Sementara itu,Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) Indonesia, Arief Budiman yang akan memerhati proses pengundian di Negeri Sembilan esok berkata beliau berharap pilihan raya esok akan berjalan dengan lancar dan telus.

    “Saya berharap pilihan raya Malaysia berkualiti dan akan mendapat kepimpinan yang sangat berkualiti” katanya.

    Ketua Sekretariat Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Azerbaijan, Rovzat Gasimov berharap pengundi Malaysia akan melaksanakan hak mereka untuk mengundi bagi memilih pentadbiran negara.

    “Bagi sesebuah pilihan raya , paling utama ialah pengundi keluar mengundi. Jadi, semoga rakyat Malaysia akan ke pusat pengundian esok bagi membuang undi mereka,” katanya.. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pemerhati Antarabangsa Bukti Ketelusan Pilihan Raya Malaysia "