• Pembunuh Bersiri Terlepas Hukuman Mati

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Saturday, 5 May 2018
    A- A+

    CHICAGO – Seorang pembunuh bersiri mengaku bersalah di mahkamah Indiana semalam atas tuduhan mencekik sehingga mati tujuh wanita sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk membolehkan dia terlepas dari dijatuhkan hukuman mati.

    Darren Vann, 47 akan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan menerima parol bagi setiap tujuh pertuduhan membunuh, selepas bersetuju untuk mengaku salah.

    Kesemua hukuman terbabit akan berjalan serentak.

    Pendakwa Lake County, Bernard Carter ketika dihubungi melalui telefon berkata, pendakwa sebelum ini mencadangkan hukuman mati namun dibatalkan selepas kesemua keluarga mangsa memutuskan bahawa mereka lebih bersetuju untuk melihat Vann menghabiskan sisa usianya di dalam penjara berbanding dikenakan hukuman mati.

    “Mereka berpendapat hukuman mati akan memberikan jalan keluar yang mudah untuk tertuduh,” katanya.

    Vann sebelum ini mengaku kepada pihak berkuasa bahawa dia mencekik Afrika Hardy dan membunuh enam wanita lain, sebelum menunjukkan kesemua mayat mangsa kepada detektif di Gary, Indiana, kira-kira 48 kilometer di tenggara Chicago.

    Menurut dokumen mahkamah, kesemua kematian diklasifikasikan sebagai kes bunuh dengan punca kematian disahkan akibat dicekik.

    Carter memberitahu, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa beberapa mangsa mungkin terbabit dalam aktiviti pelacuran. – Reuters/myMetro Online

    Subjects:

  • No Comment to " Pembunuh Bersiri Terlepas Hukuman Mati "