• Pasukan Khas Kaji Perubahan BN

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 15 May 2018
    A- A+
    Foto Syarafiq Abd Samad

    KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji perubahan yang bakal dilakukan parti itu untuk terus kekal relevan.

    Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, berkata pasukan khas itu akan melihat segala keperluan dalam menentukan hala tuju parti.

    "Kita ada membincangkan hala tuju parti dan akan menubuhkan taskforce (pasukan khas) untuk melihat reforms (perubahan) yang diperlukan.

    "Buat masa ini, kita belum tahu siapa yang akan berada dalam pasukan khas ini," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN, yang dipengerusikan Pemangku Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, sebentar tadi.

    Antara yang hadir adalah Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pengerusi Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

    Turut serta, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof.

    Sementara itu, Subramaniam berkata, Ahmad Zahid meminta semua parti komponen BN untuk terus sepakat dan melakukan perubahan yang diperlukan.

    "Sehingga kini, MIC masih sebahagian daripada BN. Kita akan melihat bagaimana dan berasakan BN perlu berubah untuk berdepan cabaran semasa.

    "Kita perlu sedia ke hadapan kerana dalam situasi sebagai pembangkang, kita perlu menjadi pembangkang yang baik," katanya.

    Sementara itu, Tiong Lai berkata, parti komponen yang masih bersama BN perlu meneruskan perjuangan.

    "Kita akan melakukan 'post mortem', begitu juga MCA. BN masih kukuh walaupun ada beberapa parti yang sudah meninggalkan BN," katanya.

    Terdahulu Ahmad Zahid turut mengadakan pertemuan bersama Ahli Parlimen BN, namun beberapa Ahli Parlimen yang ditemui enggan memberikan sebarang kenyataan.

    Difahamkan, Ahmad Zahid meminta supaya semua Ahli Parlimen BN mengekalkan perpaduan dalam kalangan mereka dan terus bekerja demi rakyat. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Pasukan Khas Kaji Perubahan BN "